Suzuki Jimny bakal dilancarkan pada bulan Ogos tahun ini

oleh SALINA JALIL|
NAZA Automotive Group akan membawa masuk model ikonik Suzuki, Suzuki Jimny ke pasaran Malaysia pada Ogos ini, model keduanya selepas pelancaran Suzuki Swift Sport bulan lalu.


Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan, berkata model Jimny yang akan dibawa masuk nanti ialah daripada varian paling premium dan 'high end'.

 

"Seperti kita tahu, Jimny ialah jenama ikonik dunia, malah kami sudah menerima hampir 20 tempahan daripada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan model ini, biarpun belum mengumumkan apa-apa lagi berita mengenainya.

 

"Kami tidak menolak bayaran tempahan daripada pelanggan biarpun belum mempunyai kata putus mengenai bila model ini akan dibawa masuk pada awalnya, tetapi kini saya boleh katakan benar, Jimny akan dibawa masuk ke sini secara diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang di Jepun.

 

"Malah, nisbah tempahan yang kami terima di antara Jimny dan Swift Sport ialah 3:1, menunjukkan model ini menjadi pilihan ramai pelanggan di sini," katanya pada temu bual bersama BH dan New Straits Times, baru-baru ini.

 

NAZA Automotive menerusi Naza Eastern Motors Sdn Bhd awal bulan lalu mengumumkan pelantikannya sebagai pengedar dan penyedia perkhidmatan selepas jualan Suzuki.

 

swift

 

Ditanya sama ada Naza akan membawa masuk model Suzuki Swift daripada varian biasa, Nik Hamdam berkata, ia termasuk dalam perancangan dan menyasarkan untuk melakukannya tahun depan.

 

"Kami bercadang mengimportnya dari Thailand kerana kilang Suzuki di sana ada mengeluarkan model Swift yang biasa khusus untuk pasaran massa.

 

"Perkara ini sedang dikaji dan dibincangkan dengan syarikat Suzuki untuk direalisasikan nanti," katanya.

 

Dalam pada itu, Nik Hamdam berkata, syarikat turut merancang menambah lebih banyak rangkaian pengedaran Suzuki di beberapa bandar utama seperti Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang, Melaka dan juga tambahan satu atau dua lagi cawangan pengedar di Lembah Klang.

 

"Ini untuk memberi lebih ramai pelanggan peluang uji pandu dan servis kereta Suzuki. Rancangan pengembangan rangkaian pengedar ini akan dibuat pada suku ketiga atau keempat tahun ini," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Disebabkan pengaruh Jimny yang kuat, sebuah syarikat Jepun yang dikenali sebagai T-Style hadir…
Berita Global
Bagi mereka yang mahukan pemanduan off-road yang lebih serius, syarikat penala Delta4x4 dan Avus…
Berita Global
Laman FB Marketplace menyenaraikan sebuah RV yang sedia untuk dilepaskan kepada pihak yang berminat…