Laman web automotif Jepun, Best Car Web melaporkan Suzuki akan melancarkan secara rasmi Jimny 5-door yang lebih praktikal ini di acara Auto EXPO, India pada 13 Januari 2023.
Difahamkan, Jimny 5-door ini memiliki jarak antara roda sepanjang 2,550 mm, atau 300 mm lebih panjang berbanding Jimny 3 pintu.
Sementara dimensi penuh pula sekitar 3,850 mm, lebar 1,645 mm dan tinggi 1,730 mm.
Tidak banyak perubahan rekaan yang bakal dibawakan berdasarkan gambar intip yang diperoleh sebelum ini, melainkan penambahan dua pintu belakang dengan jarak antara roda yang lebih panjang.
Penambahan dimensi itu sekaligus menawarkan ruang kabin yang lebih luas, dan menjadikan Jimny kali ini jauh lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Suzuki Jimny versi 5-door ini masih lagi mengekalkan penggunaan nadi K15B 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual 5 kelajuan atau automatik empat kelajuan, serta sistem pacuan 4WD secara standard.
Namun, terdapat juga laporan di mana Jimny baharu ini bakal dilengkapi dengan trenkuasa hibrid.
Ia terdiri daripada enjin 1.5 liter (kod K15C) yang mampu menjana kuasa setinggi 101 PS/132 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik (33.4 PS/60 Nm).
Produksi Jimny lima pintu ini akan mengambil tempat di kilang Maruti Suzuki di Gurgaon, India bermula suku pertama 2023, dan dijangka memasuki pasaran tersebut menjelang pertengahan 2023.
Di pasaran Jepun pula, model Jimny Sierra 5-door akan dipasang di kilang Shizuoka Kosai.
Harga jualan di Jepun dianggarkan bermula dari 2.3 juta yen (RM76,090), atau 300,000 yen lebih mahal berbanding model Sierra 3 pintu.
Sumber: Best Car Web