
Grand Vitara direka dan dibangunkan oleh Suzuki dan akan dikeluarkan di kilang Toyota Kirloskar Motor Pvt. Ltd.
Kedua-dua Suzuki dan Toyota mempunyai kerjasama perniagaan global dan sebelum ini Toyota telah melancarkan kembar Grand Vitara iaitu Urban Cruiser Hyryder di India.
Grand Vitara dan Urban Cruiser Hyryder dibangunkan dari platform global C milik Suzuki.
Suzuki membangunkan Grand Vitara baharu sebuah sebuah SUV andalan (flagship) global dan mempamerkan kebolehan terbaik syarikat dari segi reka bentuk, teknologi dan prestasi.

Reka bentuk Grand Vitara nampak matang, tidak serabut dan rugged.
Ciri utama yang jelas dilihat ialah lampu depan dengan tiga bahagian, gril dan bampar yang tampil garang.
Bahagian sisi nampak lembut dan elegan manakala lekuk fender depan dan belakang membawakan imej yang rugged.
Bahagian belakang pula kemas dan moden dengan lampu yang bersambung dari kanan ke kiri.
Secara keseluruhannya boleh dibayangkan bagaimana Grand Vitara berada di bandar-bandar global.

Bahagian dalaman Grand Vitara mengekalkan ciri konvensional dengan butang fizikal dan tanpa skrin yang mendominasi papan pemuka. Brek tangan manual pun ada!
Perkembangan teknologi tetap diikuti dengan meter digital, paparan atas berwarna (HUD), skrin sembilan inci dan arahan suara Hi Suzuki.
Turut dilengkapi kerusi depan dengan fungsi pengudaraan, kamera 360 darjah dan bumbung panorama.
Juga selari dengan perkembangan teknologi, Grand Vitara boleh dihubungkan dengan aplikasi Suzuki Connect untuk arahan dan maklumat dari telefon pintar.

Berkenaan rangkaian kuasa, ada dua pilihan untuk pengguna di India iaitu 1.5L K15C (mild hybrid) dari Suzuki dan 1.5L Intelligent Electric Hybrid (hibrid penuh) dari Toyota.
Dari segi output, enjin 1.5L hibrid penuh berkuasa 92.4 PS pada 5,500 rpm dan 115.5 PS untuk keseluruhan sistem. Daya kilas pula 122 Nm dari 4,400 hingga 4,800 rpm.
Untuk model mild hybrid, kuasa yang dikeluarkan ialah 103 PS pada 6,000 rpm dengan daya kilas 136.8 Nm pada 4,400 rpm.
Jenis transmisi pula ada tiga iaitu e-CVT untuk hibrid penuh, manual lima kelajuan dan automatik enam kelajuan bagi mild hybrid.

Varian 4WD dilengkapi fungsi ALLGRIP SELECT dan yang pertama untuk pasaran India.
Fungsi ini membolehkan pemandu memilih mod Auto, Sport, Snow dan Lock mengikut keperluan dan permukaan jalan.
Suzuki memaklumkan penggunaan minyak enjin hibrid penuh ialah 27.97 km/l manakala mild hybrid dari 19.38 km/l hingga 21.11 km/l bergantung kepada transmisi dan pacuan.
Dari segi keselamatan, Grand Vitara dilengkapi enam beg udara, Program Penstabilan Elektronik dengan Bantuan Henti di Curam, dan Kawalan Penurunan Curam.

Dengan pengenalan ini adakah kita bakal menyaksikan Vitara kembali ke pasaran tempatan?
Tambahan pula, hanya dua model yang ditawarkan iaitu Swift Sport dan Jimny di mana kedua-duanya dalam segmen niche.
Apa pun nantikan berita dan pengesahan dari Naza Eastern Motors.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
