Suzuki Fronx Kini RM29 Ribu Lebih Murah, Fronx Sport Baharu Dilancarkan Pada Harga RM130,888

oleh Qalif Latif|
Naza Eastern Motors mengumumkan harga baharu yang lebih kompetitif untuk Suzuki Fronx di Malaysia, di samping memperkenalkan varian baharu Suzuki Fronx Sport yang tampil dengan penampilan lebih sporty dan pelbagai kelengkapan tambahan.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah penurunan harga Suzuki Fronx standard yang kini dijual pada RM118,888 tanpa insurans, berbanding harga pelancarannya pada November 2025 iaitu RM147,888. Ini bermakna SUV kompak tersebut kini ditawarkan RM29,000 lebih murah berbanding sebelum ini.

Pada masa sama, Suzuki turut memperkenalkan Fronx Sport yang dijual pada harga RM130,888 tanpa insurans, menjadikannya hanya RM12,000 lebih mahal berbanding Fronx standard walaupun hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi penampilan dan kelengkapan.

Fronx Sport Tampil Lebih Agresif

Direka untuk pembeli yang mahukan SUV kompak dengan penampilan lebih menonjol, Fronx Sport menerima pelbagai aksesori khas yang membezakan model ini daripada Fronx standard.

Suzuki Fronx

Antara kelengkapan tambahan yang diberikan termasuk:

  • Front lip
  • Rear spoiler
  • Rear bumper kit
  • Side skirting
  • Pelekat badan sisi
  • Roof wrap
  • Rim aloi 17 inci
  • Tayar Continental UltraContact UC7
  • Kemasan khas pada front lip, spoiler dan diffuser
  • Kamera DVR hadapan dan belakang
  • Door visor

Suzuki Fronx

Suzuki Fronx

Fronx Sport ditawarkan secara eksklusif dalam dua warna iaitu Pearl Snow White dan Cool Black.

Enjin Mild Hybrid Dengan Jarak Pemanduan Lebih 700 KM

Suzuki Fronx Sport menggunakan enjin petrol 1.5 liter empat silinder NA yang dipadankan dengan sistem mild hybrid menerusi Integrated Starter Generator (ISG).

Enjin tersebut menghasilkan 103 PS (101 hp) dan 138 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan lengkap dengan paddle shifter.

Menurut Suzuki, kombinasi bateri lithium-ion dan tangki bahan api 37 liter membolehkan Fronx Sport mencapai jarak pemanduan melebihi 700 km berdasarkan piawaian WLTP.

Suzuki Fronx

Dimensi Kompak, Ruang Praktikal

Diimport sepenuhnya dari Indonesia, Fronx Sport mempunyai dimensi:

  • Panjang: 3,995 mm
  • Lebar: 1,765 mm
  • Tinggi: 1,550 mm
  • Jarak roda: 2,520 mm
  • Kelegaan bumi: 170 mm

Sistem suspensi terdiri daripada MacPherson Strut di hadapan dan torsion beam di belakang.

Kabin Lengkap Dengan Apple CarPlay Dan Android Auto Tanpa Wayar

Bahagian dalaman Fronx Sport menerima kemasan fabrik dan kulit sintetik dua tona, selain dilengkapi pelbagai ciri moden seperti:

  • Wireless Apple CarPlay
  • Wireless Android Auto
  • Pengecas telefon tanpa wayar
  • Stereng boleh laras tilt dan telescopic
  • Tempat duduk belakang lipatan 60:40

Suzuki Fronx
Suzuki Fronx
Suzuki Fronx

ADAS Lengkap Dan Penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP

Dari aspek keselamatan, Fronx Sport didatangkan dengan pakej ADAS yang lengkap sebagai standard.

Antara sistem yang ditawarkan ialah:

  • Adaptive Cruise Control
  • Lane Change Assist
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Keep Assist
  • Blind Spot Monitor
  • Rear Cross Traffic Alert
  • Vehicle Sway Warning
  • High Beam Assist
  • Hill Hold Control
  • ISOFIX
  • Enam beg udara

Model ini juga telah menerima penarafan keselamatan 5-Bintang ASEAN NCAP.

Waranti

Suzuki Fronx dan Fronx Sport didatangkan dengan waranti kenderaan selama tiga tahun atau 100,000 km. Bagi sistem bateri mild hybrid pula, Suzuki menawarkan waranti selama lima tahun atau 100,000 km.

Dengan harga baharu RM118,888 dan penambahan varian Fronx Sport pada harga RM130,888, Suzuki dilihat cuba mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV kompak yang semakin kompetitif, sambil menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan gabungan gaya, kepraktisan dan teknologi keselamatan moden.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Skor Penilaian Keseluruhan Adult Occupant Protection (AOP): 36.71 mata Child Occupant…
Berita Domestik
Pengenalan Suzuki Fronx Suzuki Fronx pertama kali dipertontonkan di dunia semasa Auto Expo 2023…