
Model produksi eVX dijadual untuk diperkenalkan kepada pasaran menjelang 2025.
eVX adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menggabungkan DNA 4x4 Suzuki dan ciri canggih kenderaan elektrik.
Umum mengetahui Suzuki mempunyai SUV popular seperti Grand Vitara yang dipasarkan di serata dunia dan semestinya jip Jimny yang sudah mencapai tahap ikonik.

Menariknya, model terbaru Grand Vitara dijenamakan semula oleh Toyota sebagai Urban Cruiser Hyryder untuk pasaran India.
Dari segi reka bentuk, eVX nampak menyerlah dengan gayaan rugged dan dari jauh boleh dikenali sebagai produk Suzuki.
Berkenaan dimensi, eVX berukuran 4.3 meter panjang, 1.8 meter lebar dan 1.6 meter tinggi.

Ukuran itu berada di dalam lingkungan Grand Vitara dan pendek sedikit berbanding CR-V baharu dengan panjang 4.6 meter.
Suzuki tidak mendedahkan spesifikasi nadi elektrik secara terperinci kecuali kapasiti bateri 60 kilowatt jam (kWh) dan jarak pemanduan 550 kilometer (km).
Sebagai sebuah SUV global, adakah eVX bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan?
Penulis: Muhammad Md Tajudin
