Dengan dominasi BEV dari China, e Vitara hadir dalam reka bentuk seperti kenderaan biasa dan tampil rugged.
Suzuki menggunakan konsep Emotional Versatile Cruiser dan dibina dari pelantar baharu HEARTECT-e yang khusus untuk BEV.
Membangunkannya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam bentuk lasak bermakna e Vitara dilengkapi sistem pacuan empat roda.
Sistem jenis elektrik yang dipanggil ALLGRIP-e bukan sahaja untuk off-road tetapi juga prestasi.
Tema reka bentuk High-Tech & Adventure mengadunkan rasa sebuah BEV canggih dan karakter sebuah SUV.
Sekali pandang e Vitara nampak seperti kereta biasa tanpa reka bentuk baji atau membujur untuk membelah angin.
Rupa depan berlekuk dan bergaris manakala bahagian sisi mengembang dan mengecil.
Bahagian belakang menarik dengan lampu bersambung dan bampar tetap mempunyai drama.
Saiz e Vitara tidak besar iaitu 4,275 milimeter (mm) dan lebar 1,800 mm atau pendek sedikit daripada Proton X50.
e Vitara lebih tinggi iaitu 1,635 mm dan jarak kelegaan bumi 180 mm. Jarak roda e Vitara juga lebih panjang dengan ukuran 2,700 mm dan jelas dilihat dari sisi.
Berat kereta dari 1,702 kilogram (kg) sehingga 1,899 kg.
Bahagian dalaman pula tidak seperti BEV lain yang ringkas dan minimalis dan kekal dengan tema High-Tech & Adventure.
Papan pemuka dibuat seperti biasa kecuali skrin yang memanjang. Identiti sebuah BEV boleh dilihat pada konsol tengah yang rata dan tombol besar.
Untuk pasaran Eropah, e Vitara ditawarkan dalam dua pilihan bateri litium besi-fosfat (LFP) 49 kilowatt-jam (kWj) dan 61 kWj.
Dari segi prestasi, model motor tunggal memiliki kuasa 106 kW (145 ps) dan 189Nm. Model 61 kWj dengan pacuan depan menghasilkan 128 kW (174 ps) dan 189Nm.
Model dua motor lebih berkuasa dengan motor depan menghasilkan 128 kW dan 48 kW (65 ps) dari motor belakang atau 135 kW (184 ps) dan 300Nm secara keseluruhan.
Sistem 4WD elektrik ALLGRIP-e terdiri daripada dua eAxle berasingan pada bahagian depan dan belakang.
Sistem pacuan e Vitara mempunyai mod Trail untuk beraksi di laluan mencabar dengan membrek roda yang gelincir dan membahagikan daya kilas kepada roda bertentangan.
Suzuki belum memaklumkan jarak pemanduan dan telahan selamat ialah sekurang-kurangnya 400 sehingga 430 kilometer.
Penulis: Muhammad Md Tajudin