Menurut Suzuki, Alto Lapin LC ini merupakan satu rujukan kepada model Suzuki Fronte 360 yang muncul lewat tahun 60-an, dengan penawaran warna-warna olskool seperti hijau cair, merah jambu, beige, perang dan juga biru, serta layangan warna dua tona dengan bumbung berwarna perang atau putih.
Bahagian depan menampilkan unit lampu berbentuk bulat yang dikelilingi kemasan krom, rekaan gril dengan kemasan metalik, serta bukaan liang kecil di atas gril.
Rekaan belakang pula adalah hampir sama dengan model Lapin standard, kecuali didatangkan dengan logo LC bersayap.
Kemasan dalaman kabin Alto Lapin LC ini membawakan fabrik gandingan warna perang dan kulit palsu berwarna coklat, panel pintu dan headliner berwarna beige, serta kemasan kayu atau Dark Gray Pearl pada papan pemuka.
Antara kelengkapan moden termasuklah skrin infotainmen bersaiz tujuh inci, temapt duduk dengan ciri pemanas, kawalan iklim automatik, serta tambahan paparan animasi arnab (Lapin dalam bahasa Perancis bermaksud arnab) pada skrin di bawah speedometer.
Seperti standard kei-car, Suzuki Alto Lapin LC didatangkan dengan nadi tiga silinder sebaris 660 cc menghasilkan 63 hp, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda depan atau opsyen pacuan semua roda.
Harga jualan untuk sebuah kei-car Alto Lapin LC bermula dari 1,409,100 yen hingga 1,646,700 yen (RM45,822-RM53,548).