Ia dibangun menggunakan platform Heartect yang lebih selamat dengan teknologi termaju, berkongsi pelantar yang sama dengan model S-Presso, Celerio, serta sebuah model kei-car yang berkongsi nama yang sama.
Alto K10 ini hadir dengan enjin K-series 1.0 liter versi terbaharu yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 66 hp dan 89 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik ASG yang memacu roda hadapan sahaja.

Dari segi dimensi, generasi ketiga Alto K10 ini membawakan ukuran sepanjang 3,530 mm, 1,490 mm lebar, tinggi 1,520 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,380 mm.
Berbanding model terdahulu, Alto K10 kini membawakan rupa paras yang lebih moden, disumbangkan dengan rekaan gril sarang lebah yang besar, unit lampu halogen, rim 13 inci, serta unit lampu belakang yang lebih berpetak dan lebih kecil.

Sementara kemasan ruang kabin pula menampilkan penggunaan bahan plastik keras yang meluas, sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kereta bajet.
Alto K10 didatangkan dengan speedometer digital, skrin infotainmen bersaiz tujuh inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio empat pembesar suara, serta sokongan sistem navigasi terbina.

Ciri keselamatan pula sangat asas, hanya dua beg udara sahaja dibekalkan selain daripada ciri seperti ABS, EBD, penderia parkir belakang dan sistem pintu auto lock.
Harga jualan bermula dari INR 399,000 (RM22,347) untuk versi manual, dan mampu meningkat sehingga INR 584,000 (RM32,709) untuk versi spesifikasi penuh.