Suzuki Across - kembar Toyota RAV4 Prime PHEV yang lebih hensem!

oleh Mohamad Hanif|
Di bawah perjanjian yang termeterai antara Suzuki dan Toyota, Suzuki Across merupakan model pertama yang menggunakan model kenderaan yang dibekalkan oleh Toyota, dan ia secara asasnya merupakan sebuah Toyota RAV4 Prime PHEV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Suzuki Across plug-in hybrid ini dilancarkan secara rasmi di Eropah dan jika dilihat sekali imbas, ia membawakan banyak persamaan dengan model yang dipinjamkan, kecuali rupa hadapan yang semakin segak dan kacak jika dibandingkan dengan model asal.

 


Pihak Suzuki telah menjalankan perubahan terhadap muka hadapan, di mana ia membawakan lampu LED yang lebih tirus, serta rekaan gril yang unik untuk model Suzuki.

Sementara rupa sisi dan belakang SUV plug-in hybrid ini tidak membawakan perubahan yang ketara.

 


Trenkuasa plug-in hybrid juga turut membawakan unit yang serupa, iaitu enjin 2.5 liter petrol yang disokong oleh dua motor elektrik yang memberikan kuasa untuk setiap gandar, serta pek bateri berkapasiti 18.1 kWh yang diletakkan di lantai kenderaan.

Angka output Suzuki Across tidak dinyatakan, namun berdasarkan data daripada Toyota RAV4 Prime PHEV, ia seharusnya menghasilkan 302 kuasa kuda secara keseluruhannya.

Namun, jika dibandingkan dengan tahap pelepasan CO2 Toyota RAV4 Prime (29g/km), Suzuki Across mempunyai bacaan pelepasan CO2 serendah 22g/km, jadi ia memberikan petanda bahawa talaan yang berbeza digunakan pada trenkuasa Across.

 


Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda elektronik E-Four dengan agihan daya kilas depan:belakang yang boleh diubah daripad 100:0 kepada 20:80, dan ia amat berguna ketika pemanduan di jalan yang licin, seperti jalan bersalji dan permukaan jalan yang pelbagai.

Ia dibantu dengan fungsi Trail di mana ia mampu memaksimumkan kadar cengkaman pada permukaan yang licin dengan mengalihkan kuasa daripada tayar yang kurang cengkaman kepada tayar yang mempunyai cengkaman yang lebih baik.

 


Antara ciri keselamatan yang dilengkapkan termasuklah sistem pra-pelanggaran, bantuan pengekalan laluan, bantuan papan tanda, kawalan pelayaran dinamik, dan pemantauan titik buta.

Selain daripada itu, ciri eCall dari Suzuki turut dipasang yang mampu menghubungi perkhidmatan kecemasan di dalam situasi yang tidak dijangka, seperti kemalangan jalan raya.

Suzuki Across akan mula dijual di Eropah pada musim luruh ini.