SUV tiga baris tempat duduk - Audi Q7 berharga RM599,900

oleh Mohamad Hanif|

Selain daripada Audi Q2 dan Audi Q5, Audi Malaysia juga turut menawarkan model crossover SUV bersaiz penuh Audi Q7, kali ini didatangkan dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk. 

Pihak Audi Malaysia telah mengemaskini spesifikasi jika dibandingkan dengan model yang pernah dibawa masuk sebelum ini, dan untuk model terkini ini didatangkan dengan varian tunggal 3.0 TFSI quattro sahaja. 
 


Untuk menggerakkan badan SUV yang besar ini, nadi bentangan V6 petrol menduduki ruang enjin yang mampu menjana kuasa 333 hp serta daya kilas 440 Nm yang masuk penuh antara 2,900-5,300 rpm. 

Kuasa ini disalurkan kepada sistem pacuan semua roda quattro menerusi transmisi automatik tiptronik lapan nisbah kelajuan, diterjemahkan kepada prestasi pecutan sepantas 6.3 saat sahaja dari 0-100 km/j!
 

 

Audi Q7 didatangkan dengan sistem kamera keliling dan ciri bantuan parkir yang amat memudahkan terutama ketika mengendalikan SUV besar ini di kawasan yang sempit. 

Antara ciri standard yang hadir pada Audi Q7 ini termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu membelok dinamik, pencuci lampu utama, cermin sisi dengan ciri auto-kelam dan fungsi memori serta sistem pendingin hawa empat zon.
 


Sama seperti Audi Q5, Audi Q7 juga hadir dengan kokpit virtual Audi dan MMI Navigation plus dengan pad sesentuh, manakala sistem hiburan diperhalusi penghasilan bunyi 3D dengan bantuan sistem B&O Premium.

Walaupun dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk, Audi Q7 menawarkan ruang kargo yang cukup mengkagumkan, di mana terdapat kapasiti sehingga 1,955 liter apabila tempat duduk belakang dilipat secara elektronik menerusi butang yang terdapat di ruang belakang. 

 


Dari segi keselamatan, Audi Q7 didatangkan dengan lapan beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX pada baris kedua dan ketiga, bantuan mula mendaki dan kawalan kestabilan elektronik (ESC). 

Di Malaysia, Audi Malaysia menawarkan harga jualan bermula dari RM599,900 atas jalan tanpa insurans serta jaminan lima tahun tanpa jarak perbatuan. 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Membawakan rekaan yang menawan sejajar dengan bahasa rekaan KODO, Mazda CX-8 direka untuk menjadi…
Berita Global
Lynk & Co 01 merupakan produk pertama yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo di bawah jenama…
Berita Domestik
Tentu ramai yang tertanya-tanya perihal SUV tiga baris tempat duduk yang dipertontonkan oleh Mazda…