SUV Elektrik MG Cyber X Bakal Lancar 2027

oleh Qalif Latif|
MG sedang bersiap untuk membawa model konsep Cyber X ke tahap produksi penuh dalam tempoh dua tahun akan datang. Model yang mula dipertontonkan di Shanghai itu bakal berubah menjadi sebuah SUV elektrik kompak dengan rekaan kotak, harga mesra poket, dan dijangka masuk pasaran pada 2027 dengan tanda harga permulaan di bawah £30,000 (anggaran RM176,000).

Rekaan & Inspirasi

Walaupun tampil berbeza dengan barisan model MG sedia ada, Cyber X digambarkan sebagai “spiritual successor” kepada Suzuki Jimny. Bezanya, Jimny di UK hanya ditawarkan versi tiga pintu, manakala Cyber X dijangka hadir dengan lima pintu sahaja. Reka bentuknya akan mengekalkan gaya bersegi, hud rata, lengkuk roda lebih lebar serta sedikit pelapik hitam untuk ciri urban.

MG

Beberapa ciri futuristik dari kereta konsep akan digugurkan untuk mengawal kos, termasuk lampu pop-up dan logo bercahaya. Lampu bar penuh mungkin diganti dengan unit individu, manakala bumbung panoramik hanya eksklusif pada varian premium. Bahagian belakang pula mengekalkan gaya tegak dengan inspirasi Mercedes EQB.

Platform & Teknologi

SUV ini dijangka dibina atas platform SAIC E3 asas sama seperti MG4 di pasaran China. Platform ini berpotensi menampilkan teknologi bateri semi-solid-state yang menawarkan kecekapan lebih baik dalam cuaca sejuk serta peningkatan jarak pemanduan.

MG4 kini ditawarkan dengan bateri 42.8kWh, 53.9kWh, dan versi baharu 70kWh semi-solid-state yang mampu capai jarak hingga 537km (mengikut kitaran China). Bagi Cyber X yang lebih kotak dan tinggi, jarak realistik dijangka sekitar 480km (hampir 300 batu). Sistem pengecasan pantas 30%–80% dalam masa 20 minit juga bakal ditawarkan.

Enjin & Varian

Cyber X akan hadir dengan pilihan single motor FWD sebagai standard, manakala varian lebih tinggi mungkin dapat dual motor AWD untuk prestasi tambahan dan sedikit kebolehan off-road. Namun, fokus utama tetap pada kegunaan bandar dan keluarga berbanding kemampuan lasak sebenar.

Kabin & Ruang Dalaman

Interior dijangka diinspirasikan daripada MG4 dengan rekaan minimalis, skrin infotainmen besar di tengah, kluster digital penuh, serta hampir tiada butang fizikal. Platform elektrik sepenuhnya menjanjikan ruang kepala dan kaki yang luas, dengan kabin terang hasil penggunaan cermin besar.

Sasaran Pasaran

Walaupun gaya luaran mengingatkan Mercedes G-Class versi mini, Cyber X bukanlah pesaing Defender atau G-Wagen. Sebaliknya, ia disasarkan untuk pembeli bajet sederhana yang sedang mempertimbangkan Ford Puma atau Jeep Avenger.

Menurut David Allison (UK Product & Planning MG), harga permulaan bawah £30,000 adalah “mudah dicapai”, menjadikan Cyber X berpotensi besar untuk menggoda pelanggan baharu yang sebelum ini tidak memandang SUV MG seperti ZS.

Bila Akan Dilancarkan?

Berdasarkan petunjuk semasa, MG dijangka memperkenalkan versi produksi Cyber X seawal Shanghai Auto Show 2027, mungkin lebih awal jika strategi pemasaran MG kekal agresif.

Dengan kombinasi rekaan unik, harga berpatutan, serta teknologi bateri generasi baharu, MG Cyber X berpeluang mencipta fenomena sebagai SUV elektrik gaya premium dengan harga rakyat.

SumberAuto Express


 

Tags