
Reka bentuk tanpa cermin belakang!
Polestar 4 membawa pengaruh reka bentuk kereta konsep Polestar Precept dan menariknya hadir tanpa cermin belakang! Tak ada masalah, Polestar menggantikannya dengan kamera.
Lagi ciri dari Precept ialah lampu depan dua bilah yang terpisah dengan nyalaan signatur Polestar.
Sebagai sebuah EV, aerodinamik merupakan satu aspek penting. Ciri itu diterjemahkan pada muncung rendah, pembuka pintu tersorok dan bilah aero belakang.
Lagi ciri aerodinamik seperti cermin rata (flush glazing) tanpa bingkai dan pengoptimuman aliran udara pada bahagian sekitar lampu belakang.
Platform SEA Geely Holding

Polestar 4 berada di dalam segmen D SUV coupé dan dibina dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan Geely Holding.
Dari segi dimensi, Polestar 4 berukuran 4,839 mm panjang, 2,139 mm lebar, 1,544 mm tinggi dan jarak roda 2,999 mm yang menghasilkan ruang dalam luas.
Menariknya kerusi belakang boleh dicondongkan! Selain itu, reka bentuk tanpa cermin belakang membolehkan bumbung kaca ditarik sehingga ke belakang kepala penumpang.
Olahan itu membantu supaya penumpang tidak merasa lemas dan membantu dari segi pencahayaan.

Tangkas, 0 hingga 100 km/j tak sampai empat saat!
Polestar 4 sekarang ini memegang rekod kereta produksi paling pantas yang dihasilkan syarikat. Pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 3.8 saat!
Pakej elektrik menghasilkan 400 kW (544 hp) dan ada dua versi ditawarkan iaitu motor tunggal yang memacu roda belakang.
Versi motor berkembar dilengkapi suspensi separa aktif dengan pelarasan di antara keselesaan dan prestasi dinamika.
Roda ditawarkan dari saiz 20 inci hingga 22 inci dengan tayar dibekalkan Pirelli dan Michelin.

Jarak pemanduan hingga 563 km
Bateri dengan kapasiti 102 kWj dipasang pada kedua-dua model Polestar 4 jarak jauh (Long Range).
Model Long range Dual motor menghasilkan 400 kW (546 hp) dan tork 686Nm dengan sasaran pemanduan sehingga 563 kilometer (WLTP).
Turut dilengkapi klac pemutusan bagi memisahkan motor elektrik depan apabila tidak diperlukan untuk memaksimumkan jarak dan kecekapan.
Untuk mengecas, kesemua varian dilengkapi pengecasan AC 22 kW dan sehingga 200 kW untuk DC.

Istimewa untuk Long range Dual motor, pemandu boleh memilih mod pemanduan yang mengutamakan jarak atau prestasi.
Mod prestasi meningkatkan lagi tahap respon rangkaian kuasa dan menggunakan kedua-dua motor secara sepenuh untuk kuasa penuh dan prestasi terbaik.
Mod jarak pula mengutamakan kecekapan dengan rangkaian kuasa berfungsi tenang dan hanya dipacu motor belakang.
Model Long range Single motor menghasilkan output 200 kW (272 hp) dan tork 343 Nm dengan sasaran jarak pemanduan sehingga 598 km (WLTP).
Sedozen kamera!

Secara keseluruhannya Polestar 4 dilengkapi 12 kamera, satu radar dan 12 sensor ultrasonik sebagai ciri standard.
Sedozen kamera itu termasuk kamera pengawasan pemandu yang bukan setakat merakam video tetapi juga menghantar data bagi mengawasi mata dan pergerakan kepala.
Tujuannya bagi mengelak insiden berkaitan keletihan atau ketidakupayaan.
Bersama pengesanan tangan pada stereng, sistem pengawasan pemandu membantu pemandu kekal aktif seperti yang diperlukan.
Sistem HUD pancaran 14.7 inci

Sebuah skrin saiz 10.2 inci diletakkan di sebalik stereng dan memaparkan maklumat seperti kelajuan, bateri dan jarak.
Bagi mengurangkan gangguan, sistem papar pandu dengan pancaran 14.7 inci memberikan maklumat seperti telefon dan navigasi terus ke cermin depan.
Pakej tambahan
Polestar menawarkan pelbagai pakej tambahan seperti Plus Pack, Plus Pro Pack, Nappa Pack dan Pilot Pack dengan Pilot Assist.

Performance Pack untuk model Long range Dual motor istimewa dengan rim 22 inci, brek Brembo empat omboh, dan penalaan casis Polestar Engineered.
Juga istimewa warna emas Swedish pada brek, tali pinggang keledar dan penutup tiub tayar.
Dipasang di kilang canggih, dijual di pasaran antarabangsa
Polestar 4 akan mula dipasang pada November 2023 di kilang canggih milik Geely di Hangzhou Bay yang menggunakan 100 peratus tenaga elektrik boleh baharu.

Selepas China, Polestar akan dilancar di Eropah, Amerika Utara dan Asia Pasifik pada awal 2024.
Harga anggaran ialah 55,000 pound sterling (RM303,175).
Penulis: Muhammad Md Tajudin