Geely FY11, atau nama rasminya di China Geely Xing Yue telah selesai dilancarkan oleh Geely Auto, dibangunkan daripada platform Compact Modular Architecture (CMA).
Rekaan Xing Yue diadaptasi daripada konsep bergelar "The Moment" di mana ia mengambil inspirasi daripada pergerakan dinamik di dalam kehidupan seharian dan alam semula jadi.
Terima kasih kepada tahap fleksibiliti platform CMA yang digunakan, Geely Xing Yue mampu memberikan jarak overhang depan dan belakang yang pendek, serta titik graviti yang lebih rendah - seakan kucing liar yang bersedia untuk menerkam mangsanya.
SUV Coupe bertaraf mercu (flagship) ini bakal ditawarkan dalam tiga varian trenkuasa - enjin pembakaran dalaman, mild-hybrid dan juga plug-in hybrid (PHEV) - dengan dua pilihan pacuan iaitu dua roda atau semua roda.
Xing Yue versi hibrid dikatakan mampu bergerak sejauh 80 km di dalam mod pemanduan elektrik sahaja, menjadikan ia sebagai sebuah SUV Coupe PHEV pertama di dunia yang mampu menawarkan jarak sejauh itu.
Seperti yang disebutkan, tiga jenis trenkuasa ditawarkan, dimulakan dengan versi prestasi tinggi iaitu enjin empat silinder 2.0TD (239 hp/350 Nm) yang dibangunkan menggunakan teknologi Volvo Car dan dikatakan memenuhi piawaian pelepasan emisi yang sangat ketat iaitu Euro 6d dan China 6b
Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi automatik dari Aisin dengan lapan nisbah kelajuan, dengan kuasa pecutan sepantas 6.8 saat dari 0-100 km/j, menjadikan Xing Yue antara SUV Couper berkuasa di dalam segmennya.
Versi mild-hybrid pula menggunakan enjin 1.5TD dan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan, menghasilkan 174 hp dan 255 Nm dan digandingkan dengan sistem motor elektrik 48V.
Menurut Geely, transmisi DCT ini mampu menukar gear dalam masa sepantas 0.2 saat sahaja dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.6 liter/100 km.
Manakala versi PHEV pula hadir dengan dua pilihan pek bateri berkapasiti tinggi 11.3 kWh dan pek bateri berkapasiti ultra tinggi 15.2 kWh, masing-masing menawarkan jarak operasi sejauh 56 km dan 80 km di dalam mod elektrik sahaja.
Manakala penggunaan bahan api gabungan pula mencatatkan bacaan serendah 1.6 liter/100 km dan 1.2 liter/100 km untuk pek bateri berkapasiti ultra tinggi.
Sistem pengecasan pantas membolehkan bateri mencapai kapasiti penuh di dalam masa sekurang-kurangnya 90 minit sahaja dan mempunyai kuasa maksimum 255 hp dan daya kilas 415 Nm.
Platform CMA yang digunakan membolehkan Geely mencapai keseimbangan dalam menjadikan Xing Yue sebuah SUV Coupe yang sporty dan selesa dalam masa yang sama, terima kasih kepada sistem suspensi MacPherson di hadapan dan multilink bebas di belakang.
Sistem pacuan semua roda elektrohidraulik generasi kelima dari BorgWarner mampu menukar pacuan dua roda kepada semua roda secara pintar dalam mencapai penggunaan bahan api yang lebih baik.
Ruang kabin Geely Xing Yue ini penuh dengan ciri termoden berorientasikan manusia, seperti penggunaan Face ID bagi menentukan beberapa tetapan pilihan peribadi seperti kedudukan tempat duduk, cermin sisi, sistem hiburan dan sebagainya menggunakan pengecaman wajah.
Sistem ini juga mampu mengesan kadar kepenatan pemandu dengan hanya memantau ekspresi muka termasuklah kadar pemandu melelapkan mata atau menguap!
Dari segi keselamatan, Xing Yue dilengkapkan dengan 22 sensor luaran bagi membolehkan ia mencapai ciri swapandu tahap kedua dibantu dengan ciri keselamatan seperti:
- Kawalan Pelayaran Pintar (ICC)
- Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
- Kawalan Pelayaran Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
- Sistem Kekal Laluan (LKS)
- Sistem Bantuan Parkir Automatik (APA) dari Bosch
- Kamera panoramik 360° HD
- Brek Kecemasan Automatik dengan ciri pengesan pejalan kaki (AEB-P)
- Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
- Pengesan Titik Buta (BSD)
- Amaran Pintu Terbuka (DOW)