Susah parkir, berjalan jauh - Pelancong ke bandar Melaka merungut

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad pada minggu-minggu terpilih di bandar ini mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan pelancong yang rata-rata me­rungut terpaksa berjalan jauh kerana susah mencari tempat letak kereta menurut laporan dari Kosmo.

Seorang pelancong dari Kuala Terengganu, Terengganu, Mohd. Khairul Nizam Abdul Halim, 31, berkata, dia rimas apabila terpaksa menunggu selama 30 minit untuk meletakkan keretanya di sekitar Bandar Hilir yang penuh dan sesak.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, kawasan meletak kenderaan yang terhad menyebabkan berlaku kesesakan di sepanjang laluan yang sempit kerana ramai berhenti di tepi jalan untuk menunggu petak parkir kosong.

“Kawasan saya letak kereta pula agak jauh kira-kira 200 meter dari Medan Samudera, Bandar Hilir. Agak penat untuk berjalan walaupun lokasi tum­puan pelancong berdekatan antara satu sama lain.

“Bayangkan saya perlu membawa anak kecil untuk berjalan yang sudah tentu banyak ra­gamnya. Belum lagi tiba di kawasan yang hendak pergi, emosi kita sudah terganggu. Saya sarankan pihak berwajib sediakan tram atau buggy untuk pelancong,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan selama 54 jam bermula pukul 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad pada minggu-minggu terpilih me­libatkan penutupan sebahagian jalan bagi melancarkan aliran trafik.

Ia sebahagian daripada perancangan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan kerajaan negeri masih mengumpul respons daripada orang ramai untuk melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan itu.

Pelaksanaan zon itu juga memberi tekanan kepada kira-kira 100 peniaga kecil yang mahu ia dipendekkan kepada 18 jam kerana mendakwa kedatangan pelancong ke Medan Samudera telah berkurangan.

Pelancong dari Kuantan, Pahang, Fauzi Muda, 30, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berjalan kaki kerana ke­tiadaan kenderaan menjadikan kawasan sekitar lebih selamat.

Menurutnya, inisiatif bebas kenderaan juga dapat membantu pengusaha beca menambah pendapatan harian mereka.

“Bagaimanapun, tidak semua pelancong yang datang sanggup untuk berjalan kaki terutama warga emas dan kanak-kanak. Faktor usia menghalang golo­ngan ini untuk berjalan lebih jauh.

“Justeru, saya mencadangkan pihak berwajib menyediakan bas mini, van, basikal atau skuter ­elektrik sebagai alternatif kepada pelancong untuk pergi ke tempat-tempat menarik,” ujarnya.

 

Kosmo

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Kita semua arif bahawa orang Malaysia yang memang kalau boleh, mahu meletakkan kenderaan mereka di…
Berita Domestik
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan semula dan segera mengkaji pelaksanaan penutupan…
Berita Domestik
"Ini ialah proses yang sama seperti tempoh percubaan yang kita lakukan sebelum ini untuk melihat…