Dunia automotif global digemparkan dengan berita dari laman-laman web barat yang menyatakan ada khabar angin bahawa Toyota Supra baharu akan menggunakan badan yang direka oleh Toyota tetapi di bawahnya, ia akan menggunakan mekanikal dari BMW Z4.
Menurut AutoBlog, seorang ahli forum bernama ynguldyn (yang sudah lima tahun terbukti memberikan gosip-gosip tepat berkaitan BMW) membocorkan rahsia bahawa Supra baharu tidak lebih dari sebuah BMW Z4 yang ditukarkan badannya.
Sebelum ini, Autoblog pernah melaporkan bahawa papan pemuka dan kabin Supra adalah sama seperti BMW Z4.
Jika ini benar, ini sangat mengecewakan kerana Z4 bukanlah Supra dan untuk menjadi sebuah nama legenda seperti yang diwar-warkan oleh Toyota, ia perlukan karektor yang tersendiri.
Apapun, Supra belum lagi dilancarkan secara rasminya dan pelancarannya dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.
Itupun sekiranya Toyota tidak berhasrat untuk menangguhkannya lagi.