SUPER GT kembali ke Malaysia, format perlumbaan waktu malam buat kali pertama!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah sekian lama menyepi, acara perlumbaan Super GT kembali menyemarakkan arena sukan permotoran di Malaysia yang akan berlangsung pada 16-19 Julai, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Buat pertama kalinya, SUPER GT bakal menggunakan format perlumbaan pada waktu malam dan juga memperlihatkan penyertaan pasukan Malaysia buat julung-julung kalinya. 

SUPER GT Malaysia Festival merupakan salah satu daripada dua perlumbaan yang akan diadakan di luar Jepun dan Malaysia telah dipilih menjadi lokasi pusingan kelima perlumbaan Autobacs Super GT Series 2020. 
 


Sebelum ini, Malaysia pernah menganjurkan perlumbaan All-Japan Grand Touring Championship di luar Jepun pada tahun 2000 dan 2001 sebelum dimasukkan ke dalam kalendar perlumbaan pada tahun 2002. 

Sejak daripada itu, Malaysia merupakan antara lokasi perlumbaan SUPER GT sehinggalah pada tahun 2013. 

Tidak seperti perlumbaan antarabangsa yang menampilkan pelbagai jenis sekatan, SUPER GT menawarkan satu atmosfera perlumbaan yang mendekatkan para peminat dengan pemandu dan pasukan pilihan, selain barisan Super GT Race Queens yang memeriahkan suasana. 
 


Dalam masa yang sama, pihak penganjur turut memperkenalkan pasukan yang terdiri daripada anak Malaysia sepenuhnya, diwakili oleh dua pemandu Jazeman Jaafar dan Dato' Adrian da Silva. 

Kedua-dua pelumba ini akan menggunakan Porsche GT3 R untuk bertanding di dalam kelas GT300. 

Menurut Setiausaha Agung Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia Dato' Dr. Noor Zari bin Hamat berkata, acara antarabangsa seperti Super GT Malaysia Festival 2020 ternyata mampu menarik perhatian pelancong, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. 

"Kali pertama acara SUPER GT diadakan adalah 20 tahun lalu, dan saya yakin para peminat sukan permotoran tempatan serta luar negara teruja untuk memeriahkan suasana serta acara bersejarah di mana pertama kali perlumbaan pada waktu malam diadakan," ujar beliau. 
 


Autobacs SUPER GT Series 2020 akan bermula pada April ini di Litar Antarabangsa Okayama sebelum berpindah ke Fuji Speedway dan Litar Suzuka pada bulan Mei. 

Siri ini akan diteruskan di Chang International Circuit di Buriram, Thailand diikuti oleh Litar Antarabangsa Sepang sebelum pasukan SUPER GT pulang semula ke Jepun untuk pusingan keenam di Sportsland Sugo. 

Pusingan ketujuh akan bertempat di Autopolis International Racing Course pada bulan Oktober sebelum acara kemuncak di Twin Ring Motegi pada bulan November. 

Autobacs SUPER GT Seris menggunakan format perlumbaan dua pelumba dengan jarak bermula dari 300 kilometer sehingga 1,000 kilometer terdiri daripada dua kelas utama, iaitu GT500 dan GT300. 
 


Kelas GT500 menampilkan tiga nama besar jenama automotif Jepun iaitu Toyota, Honda dan Nissan yang dibahagikan antara 15 pasukan dan turut menerima penyertaan daripada empat pengeluar tayar terkemuka iaitu Bridgestone, Yokohama, Dunlop dan Michelin. 

Kelas GT300 pula menampilkan 30 buah pasukan terdiri daripada pelbagai pengeluar seperti Mercedes-AMG, Toyota, BMW, Audi, Porsche, Lamborghini, Nissan, Bentley, Honda, Lotus dan Subaru menggunakan tayar daripada Bridgestone, Yokohama dan Dunlop. 

Pusingan latihan bebas SUPER GT Malaysia Festival 2020 akan bermula pada hari Khamis, 16 Julai 2020 diikuti oleh pusingan kelayakan pada Jumaat (17 Julai). 

Acara kemuncak akan bermula pada waktu malam hari Sabtu (18 Julai).
 


Tiket-tiket kemasukan boleh didapati menerusi www.supergtmalaysia.com seperti berikut: 

  • K1 Grandstand - RM100
  • Main Grandstand - RM250
  • GT Club - RM2,000

Namun, untuk masa terhad, tiket-tiket berharga RM80 (K1 Grandstand) dan RM200 (Main Grandstand) sedia untuk direbut oleh pembeli-pembeli terawal. 

Pihak penganjur turut bekerjasama dengan UMW Toyota Malaysia selaku penganjur Toyota Gazoo Racing Festival yang menawarkan hadiah  utama sebuah Toyota GR Supra menerusi peraduan Teka dan Menang yang disediakan. 

Art of Speed turut tidak ketinggalan bakal memeriahkan suasana dengan mengadakan Auto Expo di kawasan terbuka Mall Area berhampiran Main Grandstand dengan pelbagai jenis pameran kenderaan, jenama automotif, pakar barangan aftermarket, produk gaya hidup, serta variasi kelab kenderaan tempatan. 

 


SUPER GT Malaysia Festival 2020 turut mempamerkan bas Hop-On Hop-Off yang akan digunakan untuk mempromosikan perlumbaan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, serta bakal digunakan untuk membawa para peminat Super GT bersiar-siar di dalam Litar Antarabangsa Sepang pada acara perlumbaan hujung minggu. 
 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Kini, model 'super grand tourer' tersebut sudah pun sedia untuk membelah jalan raya Malaysia,…
Sukan Bermotor
Jentera yang dimaksudkan itu merupakan sebuah Nissan Z generasi baharu yang akan diserahkan secara…
Sukan Bermotor
Jentera lumba baharu itu didedahkan secara rasmi di Fuji International Speedway dan akan mula…