Baginda bertitah, langkah itu juga mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.
"Beta juga menyeru supaya projek jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
"Beta juga berharap agar pelaksanaan projek-projek tertangguh yang lain seperti jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Jambatan Palekbang dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaatnya," titah baginda.
Titah baginda lagi, suatu penyelesaian yang komprehensif hendaklah dibuat dengan kadar segera bagi menyelesaikan masalah bencana banjir.
"Beta amat bersimpati dengan rakyat yang telah ditimpa dengan bencana banjir baru-baru ini.
"Beta dimaklumkan kemajuan projek pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok Fasa 1 berada pada tahap 92 peratus.
"Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan bagi meneruskan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 dan Sungai Golok Fasa 3," titah baginda.
Baginda bertitah, diharapkan projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
"Beta gembira melihat status pencapaian semasa projek menaik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra mengikut jadual," titah baginda.
Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12.