Sudah lebih setahun, kenapa masih wujud U-Turn?

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita terbaharu di mana surat kebenaran dari MITI diterima semula untuk pergerakan semasa PKP sehingga 3 Jun bukannya satu kejutan bagi saya.

Ini ialah kerana saya sudah menjangkakan perkara ini bakal berlaku kerana sistem kelulusan yang sepatutnya dilakukan sendiri oleh sembilan kementerian terbabit tidak semudah seperti menggunakan Google Form untuk dapat solat di masjid.
Modenas

Kami di Careta memang menggunakan sistem CIMS (Covid-19 Intelligent Management System) dari hari pertama, dan setiap kali kami terpaksa membuat pergerakan merentas sempadan, setiap info kami kemaskini (seperti senarai pekerja) dan usaha SOP yang digunakan turut dilaporkan.

Sayangnya, selama CIMS itu wujud, tidak ada seorang pun yang memeriksa QR Code yang ada di dalam surat tersebut. 

Ada yang saya lihat membuat salinan surat CIMS tanpa mengetahui apa informasi yang ada dalam QR Code itu. Bila pertama kali digunakan untuk merentas sempadan berjaya, maka ia terus digunakan dan diikuti oleh ramai yang lain.

Hasilnya, sistem yang baik yang dibangunkan oleh MARII itu tidak mencapai objektifnya kerana masalah pengguna.

Sistem CIMS ini saya pasti tidak dibangunkan dengan percuma, dan ia mengambil masa. Tak mungkin kementerian boleh mewujudkan sistem itu dalam masa beberapa hari.

 

 

Dalam keadaan di mana rakyat tertekan dan "frust" kerana masalah Covid-19 yang seperti tidak nampak titik hujungnya, dan dalam ketakutan ekonomi akibat lockdown dan SOP yang semakin ketat, Malaysia ialah umpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa sahaja.

Saya agak kesal dengan apa yang saya lihat sekarang, kerana ia membuktikan sikap amatur digunakan pada peringkat nasional.

Untuk pengamal media yang tidak penat-penat meminta orang ramai mengikut SOP, apa yang berlaku membuatkan kami merasa bodoh dan malas untuk menyebarkan lagi maklumat, kerana informasi yang diberikan seperti kain batik berlubang-lubang  tetapi sudah dipakai ke majlis rasmi tanpa ragu-ragu.

Tiap kali kami kongsikan pengumuman terkini, respon yang diterima semakin mendengkelkan dan yang paling menyedihkan, pihak media tidak berani untuk berkata apa-apa kerana apa yang disangsikan oleh pembaca itu boleh menjadi satu kenyataan.

Ujian demi ujian diturunkan olehNya kepada kita. Jika dua tahun dahulu, kita bebas ke sana dan ke sini, Allah tarik nikmat itu dengan sekelip mata.

Pendidikan anak-anak tergugat dan prestasi akademik mereka tidak ada sesiapa berani memberikan gambaran sebenar.

 

 

Vaksin yang diberikan bukan sahaja tidak secepat dijangka, tetapi masih ada juga yang tidak mahu menerimanya. Kenapa pendapat seorang dua doktor diberikan fokus walhal ada ratusan ribu doktor yang menyarankan pengambilan vaksin?

Adakah individu itu sebenarnya takut dengan jarum, lantas mencapai mana-mana informasi yang ada untuk membuktikan tindakan menolak vaksin itu "betul"?

Saya sebenarnya sangat malu dengan perangai orang Melayu kita sekarang. 

Media sosial yang sepatutnya boleh digunakan untuk mencari ilmu dan informasi, digunakan untuk menyebarkan benda-benda lagha dan fitnah-fitnah.

Ilmu perlu diberi dalam bentuk hiburan sahaja, jika tidak, ia akan ditolak mentah-mentah.  

Bijak pandai dari bangsa kita ditolak ke tepi demi memberi ruang kepada "pemimpin" yang kurang ajar dan tidak nampak sifat kepimpinan yang boleh dibanggakan.

Tiap kali lockdown diumum, berduyun-duyun balik ke kampung dengan surat syarikat. Paling menyayat hati, boleh dijaja dengan bangga gambar balik kampung di akaun media sosial masing-masing. 

 

 

Sekiranya semua ini kita tidak endahkan, jika semua yang berilmu terus berdiam diri dan membiarkan kaum sendiri lalai kerana "tak mahu tunjuk pandai", maka tak hairan jika saya katakan kelalaian bangsa ini ialah akibat kepentingan diri dan politik semata-mata.

Untuk mereka yang bekerja siang dan malam sebagai frontliners, kami ucapkan terima kasih dan semoga Allah lindungi anda semua.

Kepada mereka yang terkesan secara ekonomi, kami doakan agar dimurahkan rezeki.

Dan kepada mereka yang dijangkiti Covid-19, kami doakan agar diberikan kesihatan dan dipermudahkan secara urusan.

Jangan putus berikhtiar, dan jangan putus berdoa kerana doa itu ialah senjata kita yang terkuat.

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh…
Berita Domestik
Kementerian itu berkata pihak majikan sepatutnya lebih bertanggung-jawab dalam menjaga pekerja-…
Berita Global
Menurut datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata ibu negara Russia itu kini melaporkan lebih…