Beliau berkata, ia berlaku selepas pengusaha terpaksa membeli bahan api pada harga tinggi namun menjual pada harga lebih rendah.
"Sebanyak 98.3 peratus daripada stesen minyak ini melaporkan kerugian daripada jualan petrol dan diesel, menyebabkan ramai pengusaha beralih kepada jualan kedai serbaneka sebagai strategi untuk mengimbangi penurunan pendapatan bahan api.
"Tanpa campur tangan, kesan ekonomi jangka panjang boleh menjadi parah, berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai dan levi akibat penutupan stesen atau pengurangan operasi," katanya.
Hanny Julia berkata, susulan peningkatan kos operasi ini, ramai pengusaha stesen mempertimbangkan untuk mengurangkan waktu operasi mereka sehingga tengah malam saja bagi mengurangkan perbelanjaan buruh dan utiliti.
Beliau berkata, malangnya, pengurangan tenaga kerja juga mungkin diperlukan sebagai langkah terakhir untuk mengekalkan operasi.
"Kami menggesa kementerian untuk meneliti dan melaraskan kadar margin operator secara adil bagi memastikan bekalan bahan api berterusan mengikut permintaan pasaran.
"Penyasaran subsidi diesel ini menyebabkan kenaikan harga pam diesel tanpa penyesuaian sepadan dalam kadar komisen pengusaha.
"Justeru kami juga menyeru kerajaan segera menyediakan penyelesaian sementara untuk menyesuaikan komisen peniaga," katanya.
Beliau berkata, Mekanisme Penentuan Harga Automatik (APM) yang dibangunkan pada 1983 perlu dikaji semula secara menyeluruh dan sejajar dengan belanjawan tahunan negara.
Menurutnya, struktur kosnya sangat dipengaruhi oleh kekuatan dolar Amerika Syarikat yang menjejaskan margin kedua-dua stesen minyak dan syarikat minyak.
Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran yang dilaksanakan bersama bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani.