Minggu lalu, saya ada membuat video komentari berkaitan isu subsidi bersasar yang dinaikkan oleh Menteri Kewangan negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata negara bakal membelanjakan sejumlah RM30 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini.
Dari jumlah itu, lebih dari RM15 bilion dari jumlah itu akan digunakan oleh golongan T20, bermakna secara mudah, golongan hartawan yang paling banyak menggunakan subsidi dari kerajaan.
Ramai yang marah dan berkata ini tidak sepatutnya berlaku. Ada juga yang berpendapat golongan T20 membayar jumlah cukai yang lebih tinggi dan mereka berhak mendapatkan subsidi juga.
Saya berpendapat bahawa sebarang jenis subsidi perlu bersasar dan perlu mempunyai objektif yang membawa kebaikan kepada negara. Timbal balas perlu wujud di mana subsidi yang diberikan akan memberikan impak positif kepada negara dalam jangka masa panjang. Ia juga perlu adil di mana jumlah subsidi yang diberikan perlu memberikan pulangan yang setimpal atau menguntungkan negara.
Dalam isu subsidi bahan api, tidak ada negara setahu saya yang memberikan subsidi secara bersasar kerana ia rumit dan kemungkinan besar, teknologi dan cara pemilihan subsidi itu berlangsung akan menelan kos operasi yang tinggi. Namun begitu, dengan wujudnya teknologi terkini yang terhasil akibat pandemik Covid-19, mungkin ia lebih mudah dan murah sekarang.
Komen di mana golongan hartawan (T20) perlu menerima "portion" mereka juga saya kira ada logiknya. Cuma saya merasakan mungkin habuan untuk T20 bukan dari segi subsidi bahan api, tetapi dari cara lain yang boleh membantu negara dalam mencapai objektif yang berbeza.
Contohnya, golongan T20 diberikan "subsidi" dari segi pembelian dan pemilikan EV. Umum mengetahui bahawa kenderaan elektrik (EV) mempunyai pelbagai cabaran untuk ia popular tetapi efek itu berkurangan untuk pembeli kelompok T20.
- Kos pembuatan bateri yang tinggi menjadikan harga EV mahal, sesuai untuk kemampuan pembeli premium.
- Permasalahan sistem mengecaj menjadikan EV masih tidak praktikal dan lebih sesuai untuk kenderaan urban, di mana kelompok T20 paling ramai berada.
- Dengan harga yang tinggi dan masalah mengecaj, EV tidak mungkin menjadi kenderaan utama dan lebih sesuai menjadi kenderaan ketiga atau kenderaan hobi.
- Teknologi bateri masih tidak sempurna, menjadikan ia mempunyai jarak perjalanan sebenar yang terbatas. Pengguna perlu mempunyai kenderaan lain untuk perjalanan jauh agar lebih praktikal.
- Ramai rakyat Malaysia masih tidak faham konsep hijau yang bakal menyelamatkan alam sekitar tetapi mereka yang berpendapatan tinggi lebih menerima inisiatif hijau.
Kerajaan negara-negara maju memberikan insentif tunai untuk pembelian EV kerana mereka faham EV tidak menarik untuk kebanyakan pengguna masa. Ini ditambah dengan keadaan ekonomi semasa, Malaysia pastinya tidak mampu untuk melakukan yang sama.
Apa yang Malaysia mampu lakukan ialah dengan menambahkan lagi insetif bukan kewangan untuk pembeli-pembeli EV yang saya kira akan menarik minat dari pengguna golongan T20.
Sekarang ini, insentif bebas cukai 100 peratus yang diberikan dihadkan sehingga penghujung tahun 2023. Bermula tahun 2023, insentif cukai itu akan dibataskan kepada 50 peratus sahaja sehingga tahun 2025 dan selepas itu kerajaan mahukan EV dipasang secara tempatan dan harganya sepatutnya sudah rendah.
Saya mencadangkan agar insentif cukai 100 peratus untuk EV diteruskan tanpa ada had batasan masa untuk masa sekarang ataupun untuk tempoh 10 tahun. Ini akan memberikan ruang untuk syarikat automotif untuk benar-benar merangka strategi pemasangan tempatan untuk EV.
Ia juga akan membuka ruang kepada T20 untuk membeli EV dengan lebih luas. Walaupun mereka tidak menerima subsidi bahan api, mereka "diberikan" subsidi untuk pembelian EV.
Untuk konsep ini berjaya, pihak kerajaan juga sepatutnya menghapuskan terus cukai jalan untuk EV untuk tempoh minimum 10 tahun. Selepas itu, cukai jalan sepatutnya berdasarkan cukai karbon di mana ia lebih sesuai untuk EV. Kiraan cukai jalan untuk EV sekarang, tanpa insentif, adalah sangat tinggi kerana dikira berdasarkan tenaga bateri.
Ini sebenarnya tidak adil kerana tenaga bateri tidak memberikan pulangan tenaga sebanyak dan selama enjin diesel atau petrol. Kebanyakan pemilik kenderaan EV tidak dapat merasakan "kenikmatan" dari tenaga bateri yang tinggi kerana tenaga itu digunakan untuk praktikaliti mencapai jarak gerak yang lebih lama (driving range).
Saya rasa ini adalah peluang keemasan untuk Malaysia menarik minat mereka yang mampu untuk mengubah haluan kepada EV. Golongan T20 ialah pengguna sasaran terbaik untuk genre itu dan dengan kaedah yang betul dan tepat, peningkatan penggunaan EV di dalam Malaysia akan meningkat naik dan ini juga akan menarik minat pelabur asing untuk wujud dalam ekosistem EV Asean.
Insentif untuk EV juga tidak sepatutnya terhenti pada pembelian. Penggunaan EV juga perlu menerima insentif agar mereka yang menggunakannya akan terus kekal menjadi pengguna EV. Antara insentif bukan kewangan yang sepatutnya diberikan kepada pengguna EV tempatan ialah:
- Diskaun atau pengecualian tol bagi laluan bandar. Ini akan mengurangkan pencemaran udara di dalam kawasan sesak penduduk.
- Parkir percuma untuk pengguna EV oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Parkir dengan diskaun juga boleh diberikan oleh pengusaha parkir swasta di mana operator parkir diberikan potongan cukai pendapatan dari jumlah EV yang menggunakan perkhidmatan mereka.
- Harga tarif elektrik yang lebih rendah untuk pemilik EV yang mengecaj kenderaan mereka di rumah (selepas waktu puncak).
- Nombor plet istimewa dengan kadar yang rendah untuk pemilik EV baharu.
- Pemotongan cukai pendapatan selama mana mereka menjadi pemilik EV.
Insentif-insentif ini sebenarnya ada digunakan oleh negara-negara maju dalam usaha mereka untuk meningkatkan penggunaan EV. Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu lebih cepat dalam usaha mereka untuk meningkatkan lagi prasarana mengecaj EV, baik dari segi perkakasan dan juga sistem sokongan mengecaj.
Untuk mereka yang tidak mampu tetapi berminat dengan EV, kaedah ini akan membuka ruang kepada sektor kenderaan EV terpakai dan menjamin nilai jual balik yang baik serta membuka segmen perkhidmatan selepas jualan pihak ketiga untuk EV pula.
Walaupun negara kita tidak mempunyai bahan galian untuk membuat bateri, walaupun negara kita tidak mempunyai jaringan vendor automotif selengkap Thailand, tetapi Malaysia mempunyai penduduk yang lebih mudah menerima teknologi baharu dan ini perlu digunakan oleh kerajaan bagi membentuk ekosistem EV yang terbaik di Asia Pasifik.
Jangan terlalu fokus kepada pemindahan teknologi kerana tidak ada syarikat yang akan berkongsi teknologi secara melulu kerana teknologi ialah aset utama untuk mana-mana syarikat EV.
Harapan saya agar Malaysia tidak mengulangi kesilapan yang kita lakukan dengan Proton dan Perodua dahulu. Piramid EV untuk Malaysia perlu bermula dari jaringan pengguna dahulu, dan kemudian barulah kita berhijrah ke segmen pembuatan teknologi dan sebagainya.
Wallahulallam.