Subaru XV GT 2019 - tampil lebih agresif, harga bermula dari RM131k

oleh Mohamad Hanif|

TC Subaru Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan berjenama Subaru di Malaysia baharu sahaja melancarkan model khas Subaru XV, dikenali dengan nama Subaru XV GT, lebih kurang sebulan selepas Subaru Thailand melancarkannya.

Ia menggunakan asas daripada varian XV 2.0i-P namun diberikan solekan kosmetik luaran, terdiri daripada penggunaan bumper hadapan, kit badan sisi dan bumper belakang yang sedikit agresif dengan elemen jalur perak. 

 


Nadi kuasa masih lagi kekal dengan enjin empat silinder bentangan mendatar FB20 yang mampu menghasilkan 156 PS dan 196 Nm daya kilas yang disalurkan kepada pacuan semua roda simetrikal. 

Menghiasi ruang arca roda XV GT ini ialah rim aloi bersaiz 17 inci dengan kemasan logo GT di tengah dan dibaluti tayar Continental UltraContact 225/60 R17.

 


Di bahagian dalaman pula, kemasan kulit menguasai bahagian tempat duduk disulami dengan jahitan berwarna jingga.

Bagi memudahkan pemandu mengakses ruang parkir dengan lebih cermat, sistem kamera sisi ditawarkan sebagai ciri standard. 

 


Subaru XV GT Edition merupakan kolaborasi antara Giken Co Ltd dan Masahiko 'Jack' Kobayashi selaku bekas Ketua Pereka di Subaru Corporation dan bertanggungjawab menghasilkan lebih daripada 12 model produksi termasuklah Subaru WRX STI. 

Untuk versi Subaru XV GT ini, TC Subaru meletakkan tanda harga bermula dari RM130,788.00 dan kekal dengan ciri keselamatan seperti tujuh beg udara, ABS, EBD, ESC, cagak ISOFIX dan ciri Steering Responsive Headlamp yang hanya ada pada kereta mewah!

 

Add new comment

Careta Ad