Subaru XV 2018 - Lebih praktikal dan lebih jantan!

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Subaru XV ialah model yang menukar imej Subaru dari jenama sejuk dan hanya bertumpu kepada model-model prestasi kepada sebuah nama yang turut dikaitkan dengan praktikaliti, penjimatan tenaga dan lasak.

Memang crossover XV adalah model paling laris Subaru bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara. 

Kepada purist Subaru, mereka akur bahawa untuk Subaru terus menghasilkan model-model rempit mereka, perlu ada produk yang mampu menghasilkan pendapatan yang stabil untuk syarikat.

 

 

Pertama kali Careta memandu XV ini ialah ketika sesi pandu uji media di Taiwan tahun lalu. 

Pada mulanya, penulis rasa kecewa kerana bentuknya terlalu mirip seperti model sebelumnya. Pasti akan ada "pakar" yang berkata ini cuma model facelift, ditukarkan lampu dan gril.

Namun sebenarnya, ini ialah generasi kedua untuk model XV. Ia menggunakan platform serba baharu yang diambil dari Subaru Impreza baharu.

Jika mahu tahu lebih lanjut apa yang baharu pada XV ini, boleh klik pada pautan untuk membaca artikel kami di bawah.

Motor Image Lancar Subaru XV Serba Baharu

Subaru XV 2018 - 6 Perkara Yang Kami Hendak Anda Tahu

 

 

Di sini kami kongsikan pengalaman memandu Subaru XV 2018 yang dipasang di Malaysia ini selama seminggu.

- Enjin 1,995 cc 4 silinder boxer kini lengkap dengan sistem pancitan bahan api (direct injection) untuk menghasilkan 154 hp dan 196 Nm. Tidak ganas tetapi memadai untuk meratah selekoh-selekoh di kawasan Bukit Mor, Parit Jawa.

- Transmisi kekal CVT Lineartronic dengan sistem pacuan 4-roda dengan X-Mode. Ada yang akan risau memikirkan ia sebuah CVT dan pastinya membosankan. Sebenarnya, tidak langsung. CVT modern terasa lebih lancar, lebih senyap dan tidak langsung terasa efek kenyal tali getah seperti CVT zaman kuno dahulu.

- X-Mode itu lebih dari sebuah butang propa. Ia memang berfungsi di jalan tidak bertar (offroad). 

 

 

- X-Mode boleh digunakan semasa kelajuan rendah dan apa yang berlaku ialah sistem Traction Control digunakan untuk  meniru fungsi diff lock bagi memaksimakan cengkaman. 

- X-Mode juga mengawal sistem transmisi CVT agar memberikan nisbah gear yang lebih rendah, seolah-olah ia mempunyai kotak gear low-range transfer case seperti sebuah 4X4 sejati.

- Namun begitu ia masih lagi mempunyai had-had  dan jangan pula anda terus meredah masuk ke lumpur dan hutan bersama rakan-rakan 4X4 anda.

 

 

- Disebabkan kerangka kini 70 peratus lebih tegap dan sistem gantungan diubah agar lebih sporty (tetapi kekal selesa), penulis berjaya merasakan dirinya seorang pelumba rali bila mencuba XV ini di laluan-laluan berliku. 

- Keupayaan pengendalian Subaru memang tiada taranya, dan kemampuan sistem Symmetrical AWD untuk mengawal kenderaan memang sangat cekap. Malah terlalu cekap sebenarnya kerana kami gagal memaksa XV ini untuk "membuang ekornya" bagi menampakan aksi-aksi agresif. Kerana itu, juruvideo kami tidak sukakan XV ini kerana mereka tidak dapat rakaman video yang lebih ganas.

 

 

- Sistem Active Torque Vectoring juga melenyapkan terus sebarang sifat understeer (tayar hadapan membuang bila membelok dengan laju dan tajam). 

- Hasilnya, semakin tinggi peluang mendapat saman dan cara terbaik ialah anda berzikir agar sentiasa sabar ketika memandu XV ini. Untuk yang tidak dapat mengawal nafsu, semua selekph akan diambil pada kelajuan tinggi dan pedal brek hanya digunakan bila ada kenderaan lain di hadapan.

- Penggunaan bahan api dari pengalam kami, ia berlegar di sekitar 8.5L ke 9.5L/100km, tidak jauh dari angka 7.3L/100km yang diakui oleh Subaru sendiri.

 

 

- Jarak lega bumi kekal 220 mm, lebih tinggi dari kereta biasa dan beberapa SUV di luar sana. Jika masih ada speed hump atau bamper jalan yang jejak, mungkin ia bukan speed hump. Mungkin ia kayu balak.

- Dari segi keselesaan, ia lebih selesa dari dahulu kerana ruang dalam seperti lebih luas. Tempat duduk juga lebih baik untuk perjalanan jauh.

- Ruang barang di belakang (boot) kini meningkat kepada 345 liter, dan ia jauh lebih praktikal dari model terdahulu.

 

 

- Perubahan paling ketara dan paling penting (pada pendapat penulis) ialah papan pemuka atau dashboard. 

- Akhirnya, Subaru akur dan mengaku dashboard lama sangat membosankan dan terlalu ringkas.

- Dashboard baharu lebih modern kerana ia diambil dari model Impreza mereka. Untuk varian 2.0i-P, ia lengkap dengan skrin sesentuh bersaiz 8-inci dengan enam speaker serta kamera undur, peranti Bluetooth, USB, pendingin hawa dua zon, tempat duduk pemandu dengan kawalan elektrik, keyless entry, push start button dan paddle shifter.

 

 

- Ia juga ada skrin kecil di atas dashboard yang memberikan informasi bergrafik yang nampak teknikal dan menjadikan anda "nampak" teknikal, walhal info itu ada yang anda tak perlu pun.

- Jika dibandingkan dengan seterunya seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Mitsubishi ASX, XV menjanjikan pemanduan yang paling dinamik. Ia mungkin tidak selengkap yang lain, atau harganya tinggi sedikit (untuk varian Premium), tetapi ia satu-satunya crossover yang menggabungkan praktikaliti, rupa paras yang bergaya dan pemanduan dinamik.

 

 

Jangan cakap wanita tidak tahu pengendalian dinamik kerana mereka akan terus bertanya kepada anda, "Abang, kenapa XV yang ini rasa tegap di selekoh? Lebih tegap dari errr ... abang semalam tau."

Sekiranya ada pemarkahan untuk XV ini, penulis tidak teragak-agak untuk memberikan markah penuh kepadanya. Ia tidak sempurna tetapi ia memberikan keseimbangan yang baik sebagai kenderaan harian tanpa mengorbankan sedikit pun nilai-nilai pengendalian sebuah Subaru.

 

 

Informasi teknikal dan harga

  • Enjin: 1,995cc, 4-slinder boxer, direct injection
  • Transmisi: 7-kelajuan Lineartronic CVT dengan Symmetrical AWD dan X-Mode
  • Berat kasar: 1,558 kg
  • Ciri-ciri keselamatan: 7 beg udara, Hill-Start Assist, ABS, EBD, Brake Assist, VDC, Isofix
  • Harga tanpa insurans: RM119, 819 untuk XV 2.0i;  RM125,868 untuk XV 2.0i-P

 

 

Dan jika anda mahu melihat video pandu uji Subaru XV 2018 ini yang kami lakukan di Parit Jawa, Muar, Johor, di bawah ialah videonya.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Difahamkan, masalah tersebut berpunca daripada kipas pendesak (resin impeller) pada pam bahan api…
Berita Global
  Terbaru Subaru mengumumkan Solterra 2024 untuk pasaran Amerika Syarikat dengan beberapa naik…
Berita Global
  Lebih berani, WRX menggunakan kotak gear CVT atau dipanggil Subaru Performance Transmission (…