Subaru WRX STI EJ20 Final Edition - selamat tinggal nadi EJ20!

oleh Mohamad Hanif|
Enjin EJ Subaru merupakan siri enjin bentangan flat-four yang dihasilkan oleh Subaru bermula pada tahun 1989 dan masih lagi digunakan sehingga kini (sama umur pula dengan penulis).

Namun, dalam banyak-banyak spesifikasi EJ yang ditawarkan oleh Subaru, sudah tentu yang paling diingati adalah siri EJ20 yang mewarnai jalanan menerusi model-model Impreza WRX sehinggalah kepada model WRX STI. 

Berbalik semula kepada tajuk utama, Subaru nampaknya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada generasi terkini WRX STI bagi memberikan laluan kepada model berprestasi tinggi yang lebih moden. 
 


Jadi, bersempena dengan acara Tokyo Motor Show yang akan berlangsung tidak lama lagi, Subaru bakal membawakan model terakhir WRX STI, dinamakan sebagai Subaru WRX STI EJ20 Final Edition. 

Nama yang diberikan turut membawa maksud Subaru bakal menamatkan hayat siri enjin EJ yang sudah terlalu lama berada di pasaran, dan ini bermakna Subaru telah mempersiapkan pengganti kepada siri enjin EJ ini tadi. 
 


Tiada sebarang spesifikasi ataupun angka teknikal didedahkan oleh Subaru, namun berdasarkan gambar yang disertakan, model terakhir WRX STI ini akan menampilkan rim aloi emas, plak bertulis EJ20 Final Edition, lampu nyalaan siang LED di bahagian bukaan liang udara, serta garisan berwarna merah jambu pada gril. 

Namun, berita kurang baiknya, model terakhir ini hanya akan dikhususkan buat pasaran Jepun sahaja (JDM) dan tidak akan ditawarkan pada mana-mana pasaran di dunia. 

Unit penghasilannya juga amat terhad, sekitar 555 unit sahaja sebagai tanda penghormatan kepada syarikat rokok yang menjadi penaja kepada jentera WRC era 90-an, dan pihak Subaru akan mengadakan loteri bagi memilih pemilik yang layak. 
 


Bagaimana pula dengan model pengganti Subaru WRX STI?

Model-model konsep seperti Subaru Viziv Performance dan Visiv Performance STI telah pun ditayangkan sebelum ini bagi memberikan bayangan generasi baharu yang bakal menggantikan generasi sedia ada WRX STI. 

Besar kemungkinan, model yang akan muncul pada tahun hadapan ini menampilkan nadi boxer yang akan digandingkan dengan unit hibrid.

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Subaru WRX STi EJ20 Final Edition menggunakan model WRX STI Type S edisi khas untuk pasaran Jepun…