
Seperti yang dikatakan, apabila memegang nama STI pasti ada perkakasan istimewa.
Paling asas, WRX S4 STI Sport R EX dilengkapi logo STI pada depan dan belakang kereta.
Rim dibuat dalam dua warna dan terbaru pelanggan boleh memesan spoiler tinggi di belakang. Baru kena dengan warisan Impreza WRX satu ketika dahulu.
Kereta berprestasi tidak bermakna bumbung suria tidak diperlukan dan kedua-dua pelanggan GT-H EX dan STI Sport R EX boleh menikmati cahaya dari atas.

Bumbung suria juga sebenarnya sudah biasa dipasang pada Impreza dan Lancer Evolution sebelum ini.
Dari segi pengendalian, STI Sport R EX sekali lagi mempunyai kelebihan kerana dilengkapi peredam kawalan elektronik dari ZF.
Pada bahagian dalam, keistimewaan STI Sport R EX diserlahkan lagi dengan pilihan kerusi depan Recaro.
Grafik meter juga berbeza dengan lingkaran merah dan logo STI yang juga terpampang pada stereng.

Walaupun banyak berbeza, kedua-dua varian digerakkan enjin 2.4 liter Dual AVCS DIT dengan prestasi sama.
Angka yang dihamburkan ialah 271 kuasa kuda (hp) pada 5,600 rpm dan tork 375Nm dari 2,000 sehingga 4,800 rpm.
Enjin itu dipadan bersama kotak gear CVT atau dipanggil Subaru Performance Transmission (SPT).
Sekali lagi STI Sport R EX lebih istimewa dengan mod Comfort, Normal, Sport, Sport+ dan Individual untuk dimainkan pemandu.

Ada lagi yang berbeza iaitu sistem audio Harman Kardon yang siap dipasang dari kilang dan boleh juga dipesan pelanggan GT-H EX.
Asyik berbicara tentang STI, Subaru sebenarnya memperkemaskan penawaran GT-H EX dan STI Sport R EX untuk tahun-tahun mendatang.
Di antaranya sistem bantuan pemanduan EyeSight dengan kamera monokular dan tambahan kepada kamera stereo.
Fungsi monitor pelbagai pandangan pula mempunyai paparan tiga dimensi yang menggabungkan gambar dari empat kamera untuk pandangan 360 darjah.

Mod Auto memaparkan pandangan depan dan atas secara automatik apabila kereta bergerak kurang daripada 15 kilometer sejam.
Berikut ringkasan WRX S4 2024:
- EyeSight dengan kamera stereo dan kamera monokular sudut lebar
- Monitor digital pelbagai pandangan dengan fungsi baharu
- Pilihan spoiler belakang untuk STI Sport R EX
- Sistem bunyi Harman Kardon untuk STI Sport R EX
- Penambahan fungsi penyaman udara kawalan jauh di dalam SUBARU STARLINK
- Sambungan Apple Carplay tanpa wayar
- Paparan peta Apple Carplay pada skrin 12.3 inci
- Paparan Android Auto pada skrin tengah 11.6 inci
Berkenaan harga, Subaru WRX S4 GT-H EX ditawarkan pada 4,477,000 yen (RM140,564) dan 5,027,000 yen (RM157,846) untuk STI Sport R EX.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Subaru
