Lebih dikenali sebagai Subaru Evoltis sebelum ini, Subaru Solterra juga dibangunkan atas platform e-TNGA - pelantar sama yang digunakan pada model Toyota bZ4X yang telah diperkenalkan bulan lalu di Shanghai.
Walaupun platform yang sama dan dengan teknologi elektrifikasi dari Toyota, Subaru Solterra bakal menampilkan kepakaran Subaru di dalam penghasilan kenderaan, iaitu sistem pacuan semua roda (AWD).
Nama Solterra itu diambil daripada gabungan dua perkataan Latin, iaitu Sol (Matahari) dan Terra (Bumi) sebagai 'satu penghargaan' kepada alam semula jadi dan ia juga menggambarkan komitmen Subaru di dalam menawarkan keupayaan SUV tradisional Subaru di dalam pakej elektrik sepenuh masa.
Serentak dengan itu, Subaru turut mendedahkan dua keping gambar teaser EV baharu Solterra itu yang memiliki unit lampu utama yang nipis, rekaan bampar yang sedikit lebar, serta garis bumbung yang sedikit melengkung ke arah belakang.
Sebagai sebuah SUV off-road, Subaru Solterra juga nampak memiliki jarak kelegaan tanah yang agak tinggi.
Subaru Solterra EV bakal menyerang pasaran seperti Eropah, China, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat menjelang pertengahan tahun 2022.