Subaru Outback Wilderness 2022 - varian pemanduan off-road!

oleh Mohamad Hanif|
Crossover wagon Subaru Outback kini mendapat varian baharu untuk pasaran Amerika Syarikat yang dinamakan sebagai Subaru Outback Wilderness 2022 dengan penampilan yang lebih ranggi dan hadir dengan keupayaan off-road yang lebih meyakinkan.

Penampilan yang ranggi itu disumbangkan oleh penggunaan cladding plastik pada beberapa bahagian seperti bampar depan dan belakang, cladding yang lebih berbucu pada arca roda, gril hadapan yang berbeza, pemasangan skid plate, lampu kabus LED serba baharu dan decal anti-silau pada hud enjin.

Selain daripada itu, Subaru turut menampilkan aksen berkontras tinggi di dalam kemasan Anodized Copper pada beberapa tempat seperti poin cangkuk tunda dan juga rel bumbung.

 


Subaru Outback Wilderness ini turut didatangkan dengan rak bumbung jenis tangga yang mampu menyokong muatan sehingga 317.5 kg.

Tidak sah sesebuah kereta berorientasikan off-road tanpa kehadiran suspensi yang lebih tinggi, dan Subaru Outback Wilderness didatangkan dengan suspensi yang ditinggikan sebanyak 20 mm, dan secara langsung meningkatkan jarak kelegaan tanah setinggi 241 mm (jarak kelegaan tanah asal adalah setinggi 221 mm).

Jarak kelegaan tanah yang ditinggikan ini juga turut meningkatkan sudut tuju daripada 19.4 kepada 20 darjah, sudut lepasan daripada 21.7 kepada 23.6 darjah, serta sudut breakover dari 19.4 kepada 21.2 darjah.

 


Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar AT Yokohama Geolandar.

Dari segi kuasa, Subaru Outback Wilderness ini hadir dengan enjin flat-four 2.4 liter turbo yang menghasilkan 260 kuasa kuda dan 376 Nm yang dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT, sistem pacuan semua roda, X-Mode yang dinaiktaraf dan sistem Active Torque Vectoring.

Subaru juga turut meningkatkan nisbah final drive Outback Wilderness ini daripada 4.11:1 kepada 4.44:1 yang memberikan lebih daya kilas pada julat putaran enjin yang rendah untuk pemanduan mendaki cerun, sehingga 40 peratus pada permukaan batu kelikir.

 


Untuk penawaran Subaru Outback Wilderness, terdapat warna baharu eksklusif iaitu Geyser Blue sementara ruang kabin pula mendapat trim Subaru WaterTex yang kalis air, logo Wilderness pada penghadang kepala dan jahitan kontras berwarna kuprum yang boleh didapati pada roda stereng, tuil gear dan kluster instrumen.

Selain daripada itu, kemasan krom yang biasa didapati pada model standard kini digantikan dengan kemasan Gunmetal Grey.

Sistem infotainmen Starlink bersaiz 11.6 inci didatangkan secara standard, dan turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta langganan SiriusXM selama empat bulan secara percuma, langganan tiga tahun Sirius XM Travel Link percuma, dan kemaskini over-the-air.

 


Subaru tidak ketinggalan menawarkan pelbagai jenis aksesori menarik untuk Outback Wilderness 2022 merangkumi skid plate daripada aluminium atau keluli untuk dipadankan pada ruang enjin, transmisi dan tangki bahan api, serta pelindung diff belakang.

Harga jualan hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan dalam masa terdekat.