Tidak pun perlu menunggu lama selepas pelancaran rasmi, Subaru Jepun telah mengemaskini penawaran model wagon Levorg ini dengan membawakan trim baharu yang digelar sebagai STI Sport R.

Sebagai makluman, meskipun ia membawakan nama 'STI', ia bukanlah versi STI yang lebih lengkap, sebaliknya Levorg STI Sport R didatangkan dengan sedikit naik taraf prestasi dan penggayaan yang lebih sporti.
Ia dikuasakan oleh enjin boxer 2.4 liter turbo (diperoleh daripada Subaru WRX) yang mampu menjana 271 kuasa kuda dan 375 Nm, di mana kuasa itu tadi disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi CVT dengan mod manual lapan nisbah kelajuan maya.
Selain daripada pemilihan mod pemanduan seperti Comfort, Normal, Sport, Sport+ dan Individual, wagon ini turut didatangkan dengan suspensi yang dilengkapi unit peredam kawalan elektronik.

Untuk versi yang lebih rendah (STI Sport), Subaru mengekalkan enjin standard CB18 1.8 liter turbo yang mampu menjana 174 kuasa kuda dan 300 Nm, sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD dan transmisi CVT Lineartronic.
Subaru Levorg 2022 versi STI Sport R ini didatangkan dengan lencana STI pada gril dan pintu belakang, splitter depan yang lebih sporti, skid plate aluminium, rim aluminium bersaiz 18 inci dan tip ekzos berkembar yang sedikit besar.
Kelengkapan pada ruang kabin pula merangkumi upholsteri kulit, skrin infotainmen 11.6 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, serta roda stereng STI balutan kulit.

Selain daripada pengenalan trim baharu, Subaru Levorg 2022 turut dikemaskini dengan opsyen pemasangan bumbung suria, pintu belakang berkuasa elektrik, serta sistem ADAS EyeSight X versi terkini.
Harga jualan Subaru Levorg 2022 di Jepun bermula dari ¥3,102,000 (RM113,792) sementara versi STI Sport EX pula bermula dari ¥4,092,000 (RM150,108).
Bagi mereka yang mahukan Levorg STI Sport R, harga jualan bermula dari ¥4,389,000 (RM161,002) sehingga ¥4,774,000 (RM175,126) untuk varian STI Sport R EX.