
Model ini dilengkapi komponen berprestasi STI dan ditala khas untuk mempertingkatkan kestabilan stereng dan kualiti pemanduan lebih tinggi.
Pada bahagian luar, gril depan, cermin sisi dibuat dalam warna hitam dan diteruskan pada skirt bampar, antena dan logo Levorg.
Bingkai logo STI dan SYMMETRICAL AWD turut diwarnakan hitam.
Pelengkap pada bahagian luar ialah rim aluminium tempa STI BBS saiz 19 inci dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 berukuran 225/40.

Tema hitam diteruskan pada pelapik bumbung dan kerusi RECARO® yang dibalut Ultrasuede® dan kulit sintetik dengan sulaman perak.
Kedua-dua kerusi depan mempunyai lapan larasan elektrik. Panel pintu, bahagian tengah papan pemuka dibalut bahan seperti suede dan sulaman perak.
Konsol tengah dan perehat lengan dibalut kulit dan juga sulaman perak. Satu lagi ciri istimewa ialah lantai tayar ganti dan ruang kargo belakang menggunakan bahan penebat khas.

Selain penampilan luar dan dalam, model edisi terhad ini menerima pendakap badan STI boleh laras pada suspensi depan, bawah enjin dan belakang.
Transmisi CVT turut disentuh dengan penyejuk minyak khas dan talaan pada Unit Kawalan Transmisi (TCU).
Subaru Levorg STI Sport digerakkan enjin FA24 2.4 liter turbo yang menghasilkan 271 kuasa kuda (hp) dan tork 350Nm.
Tempahan untuk pengguna di Jepun dibuka pada 26 Januari dan setiap unit dijual pada harga 5,764,000 yen (RM190,396.89).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
