Subaru Levorg 2021 dilancarkan di Jepun - enjin boxer 1.8 liter turbo, 174 hp/300 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Subaru telah pun melancarkan secara rasmi generasi kedua model wagon saiz pertengahan, Subaru Levorg membawakan rekaan yang lebih tajam dan tampak agresif berbanding generasi terdahulu.
Modenas

Jika diperhatikan dengan teliti, rupa luaran Subaru Levorg 2021 banyak membawakan persamaan rekaan dengan model konsep Subaru Levorg Prototype STI yang diperlihatkan pada Tokyo Motor Show 2019.

 


Disebalik rekaan yang evolusionari itu, Subaru Levorg sebenarnya dibangunkan atas platform serba baharu yang digelar sebagai Subaru Global Platform - pelantar sama digunakan pada model Impreza terkini.

Selain daripada platform global, terdapat nadi baharu diletakkan di dalam perut Subaru Levorg, iaitu enjin boxer 1.8 liter turbo empat silinder yang mampu menjana 174 kuasa kuda (@5,200-5,600 rpm) serta daya kilas 300 Nm yang masuk penuh pada putaran enjin 1,600-3,600 rpm.

 


Sistem transmisi pula adalah jenis Lineartronic CVT yang dibangunkan serba baharu, di mana ia terdiri daripada 80 peratus komponen baharu menurut Subaru.

Kotak gear ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AWD secara standard, di mana Subaru Levorg mampu mencatatkan penggunaan bahan api serendah 7.3 liter untuk setiap 100 km (data kitaran WLTP).

Berbalik semula kepada penggunaan platform global tadi, ia mampu menawarkan ruang dalaman yang lebih luas kepada Levorg, dengan dimensi baharu kini sepanjang 4,755 mm, dan jarak antara roda kini sepanjang 2,670 mm (penambahan 20 mm).

 


Ini diterjemahkan kepada ruang kaki yang lebih luas untuk penumpang belakang, manakala ruang kargo pula bertambah daripada 522 liter kepada 561 liter.

Penambahan kepada aspek praktikaliti, Subaru turut mengemaskini ciri keselamatan EyeSight dengan penawaran ciri penderia 360 darjah secara standard bagi memudahkan pemanduan dalam dunia sebenar.

Selain daripada itu, Subaru juga turut menawarkan EyeSight X yang menambah ciri data pemetaan tiga dimensi yang membolehkan pemanduan semi-autonomi Tahap Kedua digunakan.

 


Terdapat tiga varian asas ditawarkan kepada para pengguna di Jepun (GT, GT-H, dan STI Sport) di mana setiap satu varian tersebut ditawarkan dengan ciri opsyen EyeSight X yang disebutkan tadi (GT EX, GT-H EX, dan STI Sport EX).

Perincian penuh (termasuk harga jualan) hanya akan didedahkan oleh Subaru pada 15 Oktober ini namun para pelanggan di Jepun boleh menempah Subaru Levorg baharu bermula 20 Ogos ini.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini bermakna, enjin 2.0 liter boxer turbo pada model terdahulu itu telah pun digantikan dengan nadi…
Berita Global
Khusus buat pasaran Jepun, Subaru kini memperkemaskan model wagon tersebut dengan memperkenalkan…
Berita Global
Menghampiri akhir kitaran tipikal sesebuah model, Subaru nampaknya sudah pun bersedia untuk…