Subaru Legacy 2020 tampil dengan skrin paparan yang lebih besar

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Subaru Legacy mungkin antara nama yang kurang disebut-sebut selain daripada pesaing-pesaing seperti Mazda6, Toyota Camry, Hyundai Sonata dan sebagainya, namun generasi baharu model sedan bersaiz sederhana itu bakal membuat kemunculan tidak lama lagi. 

Tidak seperti kelaziman untuk menunjukkan sedikit gambar acah yang menunjukkan luaran, Subaru menggunakan pendekatan yang berbeza dengan mendedahkan gambar kokpit terlebih dahulu.

Berdasarkan gambar tersebut, papan pemuka Legacy ini menampilkan skrin multimedia di bahagian tengah, corong udara sejuk menegak di kiri dan kanan skrin serta butang kawalan yang diintegrasikan di bahagian bawah memberikan impresi bahawa skrin paparan ini sememangnya besar. 
 


Rekaan papan pemuka juga dihiasi dengan kemasan daripada kulit, manakala terdapat butang 'View' di sebelah tombol gear, disyaki memberikan fungsi pemandangan sekeliling kenderaan sebagai sebahagian daripada fungsi keselamatan aktif EyeSight. 

Subaru Legacy generasi ketujuh ini berkongsi platform yang sama digunakan oleh Ascent, Forester dan juga Impreza, manakala pilihan enjin pula terdiri daripada enjin boxer flat-four 2.5 liter (Forester) dan juga 2.4 liter turbo (Ascent) bagi menggantikan nadi boxer flat-six. 

Legacy bakal meneruskan legasi yang dibina pada pengenalannya minggu hadapan pada acara Chicago Auto Show 2019.