Namun untuk makluman ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi di tanah tumpahnya minyak hitam Subaru, iaitu di Jepun.
Kini, Subaru Jepun mengumumkan tempahan bagi model Subaru Impreza generasi baharu yang akan mula dibuka pada 2 Mac ini.
Dari segi luaran, Subaru Impreza JDM tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara berbanding Impreza spesifikasi Amerika Syarikat.
Terdapat kehadiran lencana e-Boxer pada bahagian pintu hadapan dan pintu belakang, memberikan petanda Impreza baharu akan turut dilancarkan dalam versi hibrid e-Boxer.
Trenkuasa e-Boxer yang dimaksudkan itu menampilkan sistem hibrid pengecasan kendiri bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan 143 hp dan 188 Nm, dibantu dengan motor elektrik berkuasa 13 hp dan 65 Nm.
Subaru dijangka akan menawarkan Impreza dalam versi pacuan roda hadapan (FWD) dan AWD, dengan padanan transmisi CVT Lineartronic.
Generasi baharu Subaru Impreza kini hanya boleh didapati dalam bentuk badan hatchback sahaja, dan tiada lagi sedan Impreza yang akan dihasilkan.
Oleh sebab itu, Subaru membuat keputusan untuk menggugurkan nama 'sport' yang sebelum ini digunakan bagi membezakan antara model sedan dan hatchback.
Antara ciri lain yang bakal dimuatkan pada Subaru Impreza termasuklah kelengkapan ADAS EyeSight, skrin infohibur 11.6 inci, meter analog pada kluster instrumen, upholsteri fabrik pada tempat duduk, serta penggunaan bahan seakan kulit pada tombol gear, roda stereng dan perehat tangan tengah.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung kelak.