Tiada perubahan dari segi mekanikal, bermakna Subaru Forester 2023 facelift ini masih lagi mengekalkan nadi FB20 2.0 liter empat silinder sebaris yang mampu menjana kuasa 156 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 196 Nm @ 4,000 rpm.
Unit enjin tersebut dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AWD dan transmisi Lineartronic CVT.
Tipikal sebuah SUV Subaru, Forester facelift turut menampilkan pilihan mod pemanduan off-road X-Mode (dengan fungsi Auto Restore), bantuan menurun cerun, serta SI-Drive yang terdiri daripada mod pemanduan Sport dan Intelligent.
Perubahan yang ketara boleh dilihat pada bahagian depan, di mana Subaru Forester versi facelift ini membawakan unit lampu utama serba baharu yang lebih tajam, diiikuti dengan lampu nyalaan siang LED yang agresif dan struktur jeriji hadapan yang lebih besar.
Sementara bahagian belakang tidak menampilkan perubahan yang besar.
Turut dibawakan ialah penawaran kelengkapan keselamatan EyeSight 4.0 yang dikemaskini dengan tiga ciri baharu iaitu Autonomous Emergency Steering, Lane Centering Function dan Lane Departure Prevention. Sementara ciri Pre-Collision Braking dan Adaptive Cruise Control telah ditambahbaik.
Ciri lain termasuklah rim aloi bersaiz 17 inci untuk varian i-L EyeSight dan GT Lite Forester, skrin sentuh bersaiz lapan inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera keliling 360 darjah, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, serta sistem pendingin hawa dua zon.
Sistem suspensi juga telah ditala semula untuk menawarkan pemanduan yang lebih lancar serta pengendalian yang lebih baik.
Untuk pasaran Malaysia, terdapat juga penawaran kit badan GT Edition dengan penambahan struktur berwarna perak pada bahagian bampar hadapan, skirt sisi, dan bampar belakang, diikuti dengan pemasangan spoiler bumbung dan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci.
Kemasan GT Edition juga turut ditampilkan pada ruang kabin dengan balutan kulit bercorak khas, serta kemasan warna dua tona kelabu.
Tiga warna baharu ditawarkan untuk Subaru Forester 2023 termasuklah Cascade Green Silica, Magnetite Gray Metallic dan Brilliant Bronze Metallic, diikuti dengan empat warna menarik seperti Crystal White, Ice Silver Metallic, Crystal Black Silica dan Horizon Blue Pearl.
Harga jualan Subaru Forester 2023 adalah seperti berikut:
Forester 2.0 i-L EyeSight - RM173,500
Forester 2.0 i-L EyeSight GT Lite - RM179,500
Forester 2.0 i-S EyeSight - RM183,500
Forester 2.0 i-S EyeSight GT Edition - RM195,500