Subaru Forester 2022 facelift dapat lampu baharu

oleh Mohamad Hanif|
Generasi kelima Subaru Forester dilancarkan di peringkat global pada tahun 2018 dan memandangkan ia kini sudah pun masuk pertengahan kitaran, sudah tiba masanya untuk Subaru memperkemaskan penawaran crossover AWD itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tipikal sebuah model facelift, tiada sebarang perubahan ketara dikesan melainkan rupa hadapan yang sudah dikemaskini menampilkan unit lampu utama serba baharu dengan dimensi yang sedikit besar.

Selain daripada itu, perubahan terhadap lampu utama menjadikan rekaan bampar turut diberikan nafas baharu sementara gril pula menempatkan rekaan baharu berbentuk U.

 


Bergantung kepada varian (Touring, X-Break, Advance, Sport), Subaru Forester 2022 didatangkan dengan unit lampu kabus berbentuk menegak atau bulatan tipikal di mana kedua-dua itu menggunakan unit LED.

Sementara bahagian belakang SUV ini tidak menampilkan perubahan yang ketara berbanding model pra-facelift.

 


Untuk penampilan, Subaru menawarkan rim bersaiz 18 inci dengan rekaan yang berbeza, serta tiga warna baharu iaitu Autumn Green Metallic, Cascade Green Silica, dan Brilliant Bronze Metallic.

Ruang kabin juga turut mengekalkan susun atur yang sama, namun dengan pemilihan bahan baharu untuk upholsteri.

Sistem keselamatan EyeSight kini mendapat unit kamera stereo dengan sudut penglihatan yang lebih lebar, serta kemaskini terhadap perisian.

 


Sistem suspensi pula telah ditala semula untuk tujuan keselesaan, manakala model hibrid e-Boxer pula kini didatangkan dengan e-Active Shift Contol.

Untuk pasaran Jepun, Subaru mendatangkan beberapa pilihan enjin, termasuklah enjin 1.8 liter flat-four turbo  CB18 yang menghasilkan 174 hp dan 300 Nm, sementara model e-Boxer pula menampilkan enjin 2.0 liter FB20 yang menghasilkan 148 hp/194 Nm dibantu dengan motor elektrik menghasilkan 16.5 hp.