Subaru Forester 2004 untuk dijual dalam Bring A Trailer - sleeper sebenar dengan nadi WRX STI!

oleh Mohamad Hanif|
Jika penulis mempunyai rezeki yang lebih, Subaru Forester tahun 2004 ini mungkin sekali akan menjadi kereta projek peribadi.

Unit yang muncul dalam laman Bring A Trailer ini mungkin sekali nampak seperti Forester biasa, namun ia sebenarnya layak untuk digelar sebagai sebuah sleeper sebenar.
 

Forester


Ini kerana, Subaru Forester ini telah pun dilengkapi dengan barangan daripada Subaru WRX STI, termasuklah enjin flat-four EJ257 2.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan yang diperoleh daripada Forester STI.

Enjin WRX STI itu telah dimodifikasi dengan barangan seperti rod penyambung tempa dan omboh tempa daripada Manley Performance, crankshaft WRX STI tempa, bearing ACL, kepala silinder B25, unit pengecas turbo VF48, kemasukan udara Cobb, manifold kemasukan WRX STI tahun 2015, intercooler top-mount Grimmspeed, pemancit bahan api yang lebih besar, saluran bahan api baharu serta radiator aluminium.
 

Forester


Selain itu, Forester ini turut dipasangkan dengan sistem ekzos serba baharu.

Untuk menjadikan rupa paras Forester ini lebih menarik, ia didatangkan dengan barangan JDM seperti bampar depan, skup hud, skirt sisi, pintu belakang serta spoiler belakang, diikuti dengan rim BBS 17 inci serta sistem brek Brembo daripada model STI, dan sistem gantungan yang turut dinaiktaraf.
 

Forester


Semasa artikel ini ditulis, bidaan terhadap model Subaru Forester 2004 dalam laman web Bring A Trailer baru mencecah angka $18,750 (RM82,031).