Tanda dagangan untuk nama ZPX, VPX, dan ACX telah difailkan dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagangan US, dan semuanya diklasifikasikan di bawah kategori kenderaan dan bahagian struktur, khusus untuk kereta elektrik.
Tiga nama ini bukanlah singkatan biasa atau berkait dengan sebarang teknologi khusus, di mana Subaru tidak pernah menggunakan nama ini pada mana-mana model konsep mahupun projek terdahulu.
Ini memberikan petunjuk awal bahawa Subaru sedang membangunkan model serba baharu untuk masa depan, yang berpotensi menjadi barisan EV dengan rekaan dan DNA yang unik.
Menariknya juga, setiap tanda dagangan ini turut mempunyai permohonan untuk versi STI berprestasi tinggi, pemfailan ini mungkin isyarat bahawa Subaru bersedia menghidupkan semula jenama prestasinya.
Perkara ini turut selari dengan komen terkini daripada eksekutif Subaru, yang mengakui bahawa jenama itu telah ‘menyimpang’ dari akar prestasinya dan memerlukan satu ‘kebangkitan semula.’
Lebih menarik, satu daripada tiga nama iaitu ZPX juga difailkan dengan label Wilderness, iaitu sub-jenama untuk model dengan kebolehan off-road.
Namun begitu, perlu diingat bahawa tanda dagangan tidak semestinya akan digunakan sepenuhnya dalam pengeluaran.
Subaru sebelum ini telah memfailkan pelbagai nama seperti Accomplice, Everguide, Getaway, Trailhead, Uncharted, dan banyak lagi, namun hanya Uncharted yang benar-benar digunakan.
Tiada kepastian sama ada nama ACX, VPX atau ZPX akan menjadi model produksi sebenar, namun pemfailan versi STI dan Wilderness memberikan bayangan bahawa Subaru bukan sekadar merancang EV biasa, tetapi EV dengan karakter dan aspirasi prestasi.
Sumber: Carbuzz