Seperti yang diduga sebelum ini, Subaru BRZ 2022 kini membawakan enjin berkapasiti lebih besar, iaitu enjin flat-four 2.4 liter aspirasi natural yang diperoleh daripada Subaru Ascent dengan peningkatan kuasa kepada 228 hp dan 249 Nm (berbanding enjin terdahulu 205 hp/212 Nm).
Bukan sahaja sesaran enjin dipertingkat, akan tetapi daya kilas maksimum juga mampu dicapai pada putaran enjin seawal 3,700 rpm berbanding 6,700 rpm pada enjin terdahulu.
Sistem transmisi pula masih lagi kekal dengan penawaran kotak gear manual enam nisbah kelajuan atau automatik enam nisbah kelajuan yang hadir dengan mod Sport baharu, serta ciri LSD sebagai standard.
Mod pemanduan Sport tersebut menampilkan ciri rev-matching automatik bila mana pemandu menukar kepada gear yang lebih rendah.
Dari segi luaran, bentuk asal coupe 2+2 masih lagi dikekalkan sama dengan konfigurasi enjin hadapan dan pacuan roda belakang (FR), namun apa yang berubah adalah penampilan fizikal yang diberikan penumpuan lebih.
Selain daripada rekaan lampu utama serba baharu, Subaru BRZ 2022 turut menampilkan bukaan udara sisi yang berfungsi sepenuhnya (bukan palsu) yang mampu mengalirkan udara keluar ke bahagian side sill spoiler kiri dan kanan.
Jarak trek belakang juga turut bertambah lebar, dan rekaan spoiler jenis ekor itik itu jelas mengingatkan kita kepada elemen yang ada pada Toyota GR Supra.
Ruang dalaman pula menerima beberapa penambahbaikan seperti skrin paparan digital bersaiz 7 inci dengan paparan takometer jenis analog atau graf melintang, skrin multimedia bersaiz 8 inci dengan kehadiran beberapa butang fungsi, serta kawalan pendingin hawa di bawah skrin tersebut.
Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, Subaru BRZ 2022 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang sedikit panjang (2,575 mm), dimensi keseluruhan yang lebih panjang (4,265 mm), dan lebih rendah (1,310 mm).
Ini menjadikan titik graviti BRZ lebih rendah dan mempunyai kadar pengagihan berat yang hampir sempurna.
Sistem suspensi pula masih kekal dengan MacPherson struts di hadapan dan double wishbone pada bahagian belakang, dan terdapat opsyen untuk memasang peredam prestasi Sachs yang disekalikan dalam Performance Package.
Casis Subaru BRZ 2022 kini bertambah tegar dengan pengukuhan di beberapa tempat, dan kesan daripada itu, kestabilan torsion bertambah 50 peratus dan memberikan kelebihan dari segi aspek pengendalian yang menjadi tunjang utama Subaru BRZ sebelum ini.
Selain daripada itu, sistem kawalan kestabilan dan cengkaman jentera ini turut ditala semula dengan kehadiran lima tetapan yang berbeza, membenarkan pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Menurut Subaru, sistem ini boleh dimatikan sepenuhnya bagi mereka yang benar-benar mahukan kebebasan daripada gangguan sistem elektronik ketika pemanduan yang serius.
Tiada sebarang angka prestasi pecutan, serta kadar penggunaan bahan api didedahkan secara rasmi oleh Subaru buat masa ini, namun ia bakal dijual bermula seawal musim luruh tahun hadapan.