Suami isteri parah ditimpa pokok, bayi dalam kandungan keguguran

oleh Hamimah Hamid|
SEPASANG suami isteri cedera parah dan wanita terbabit yang mengandung lima bulan turut keguguran selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat Kangar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Baeyah Abdul Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, patah tulang paha kanan, manakala isterinya Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Katanya, bayi dalam kandungan Nuraleya Syazreena berusia lima bulan turut meninggal dunia.

 

"Ketika kejadian pasangan terbabit yang menunggang dan membonceng motosikal Yamaha Y15 dari kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat hendak balik ke rumah di Kampung Sungai Bugis.

 

"Sampai di lokasi kejadian, sebatang pokok telah tumbang akibat kejadian ribut dan menghempap motosikal dinaiki mereka," katanya.

 

Baeyah berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan lanjut.