Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, ketiga-tiga mereka di tahan dalam serbuan sekitar jam 3.35 petang di kawasan tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Taman Sri Jaya dekat Slim River pada Isnin lalu.
“Modus operandi mereka ialah membawa dadah terbabit menggunakan kereta dan berhenti di lokasi tertentu yang ditetapkan, kemudian dadah terbabit akan dipindahkan ke kereta lain pula.
“Dalam serbuan ini, mereka membawa dadah dalam kereta Proton Preve dan Perodua Aruz,” katanya.
Kok Chin berkata, pemeriksaan ke atas but kenderaan itu kemudiannya menemui 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 51.97 kilogram dianggarkan bernilai RM2 juta yang disembunyikan dalam beg pakaian.
"Kita percaya ketiga-tiga suspek ini mempunyai kaitan dengan sindiket yang pernah kita lakukan tangkapan dalam beberapa kes di Lembah Klang sebelum ini.
"Ini berdasarkan kepada modus operandi digunakan dan bungkusan dadah yang dirampas," katanya.
Ujar beliau, saringan awal mendapati, lelaki yang bertindak sebagai penghantar itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
Ketiga-tiga suspek katanya, telah direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.