Struktur jalan teruk juga punca kemalangan, bukan kelajuan semata-mata !

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Struktur permukaan jalan raya teruk juga menjadi punca kemalangan dan bukan disebabkan kelajuan semata-mata.


Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Amanah Perak, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar mahu kerajaan mengutamakan penyelenggaraan jalan raya secara sempurna dan berkala bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan kematian.
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

 

Menurutnya, kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong semalam untuk mengkaji cadangan menurunkan had laju 30 kilometer sejam di kawasan terpilih di ibu negara sebagai salah satu langkah mengurangkan kemalangan, bukan perkara baharu.

 

“Cadangan pindaan had laju mengikut tempat dan zon adalah pengulangan kepada Perintah Had Laju Nasional  yang telah ditetapkan sejak 1989 lagi.

 

“Dalam hal ini, sebarang pindaan kepada Perintah Had Laju Nasional adalah satu tindakan yang selari dengan Deklarasi Stockholm yang bertujuan untuk mengurangkan kematian jalan raya menjelang 2030,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Ka Siong berkata, kerajaan akan meneliti cadangan menurunkan had laju 30 kilometer sejam di kawasan terpilih di ibu negara seperti yang dikemukakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

 

Ka Siong berkata, kementerian juga akan membincangkan cadangan menurunkan had laju 50 kilometer sejam di zon lain.

 

Mohd. Ikhmal yang juga bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) menyatakan banyak lagi jalan raya yang berlubang, tidak rata dan tidak diselenggara dengan sempurna yang menjadi punca kemalangan sehingga mengakibatkan kematian.

 

Justeru, katanya kerajaan juga patut mengutamakan penambahbaikan dan penyelenggaraan jalan raya secara sempurna dan berkala tanpa mengira sama ada laluan di kampung, pekan mahupun bandar.

 

“Pemuda Amanah Perak mendesak kerajaan supaya segala peruntukan sama ada daripada Pejabat Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) perlu disalurkan dengan tepat dan bijaksana bagi memastikan semua jalan raya tidak kira jalan persekutuan, jalan negeri, jalan taman dan jalan kampung berada dalam keadaan terbaik.

 

“Selain pematuhan kepada Had Laju Nasional yang ditetapkan, rakyat juga berhak untuk diberikan jalan raya sempurna tidak kira di mana mereka berada,” ujarnya.

 

 

– UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Sebenarnya, jalan tersebut sebelum ini telah melalui kerja pelebaran, namun dilakukan oleh pihak…
Berita Domestik
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas…
Informasi
  Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abd Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR)…