Struktur gergasi bawah tanah ini selamatkan Tokyo daripada tenggelam banjir

oleh Mohamad Hanif|
Tokyo merupakan sebuah kota metropolitan yang sering terdedah dengan risiko banjir, terutama ketika musim hujan dan taufan disebabkan oleh beberapa tempat yang terletak di bawah paras air laut.

Disebabkan itu, pihak berkuasa Jepun mengambil inisiatif untuk membina sebuah struktur gergasi bawah tanah yang mampu menguruskan dan melencongkan lebihan air yang melimpah bagi mengelakkan bandar tersebut daripada dinaiki air.

Struktur konkrit itu dinamakan sebagai Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel yang terletak di bandar Kasukabe, di mana ia mula dibina pada tahun 1992 dan siap sepenuhnya pada tahun 2006.
 

Tokyo


Infrastruktur lencongan air ini terdiri daripada terowong bawah tanah sepanjang 6.3 km yang menghubungkan lima silo konkrit gergasi berdiameter 32 meter setinggi 65 meter yang terletak 50 meter di bawah aras tanah, di mana setiap satu silo itu mampu memuatkan struktur keseluruhan Statue of Liberty!

Semasa musim hujan, limpahan air daripada sungai yang berdekatan akan masuk melalui lima silo itu tadi sebelum disalurkan ke tangki kawalan tekanan menerusi terowong bawah tanah.

Tangki kawalan tekanan ini mempunyai ukuran sepanjang 177 meter, lebar 78 meter dengan ketinggian 25.4 meter dan mempunyai sehingga 59 buah tiang gergasi yang disambungkan kepada 78 buah pam air 10 MW (13,000 hp) yang mampu mengepam kira-kira 200 tan metrik air ke Sungai Edogawa untuk setiap saat.

Disebabkan binaan struktur yang mengkagumkan ini, ia kini menjadi daya tarikan utama, dan juga kerap menjadi pilihan lokasi penggambaran untuk drama dan filem tokusatsu Jepun seperti Kamen Rider dan juga Super Sentai.
 

kasukabe


Ketika ia tidak digunakan untuk melencongkan lebihan air, struktur seakan sebuah labirin ini sebenarnya dibuka untuk lawatan umum.

Menurut laman web Japan Travel, anda boleh menaiki shinkansen atau keretapi dari Tokyo Station menuju ke Omiya Station, dan membuat penukaran ke laluan Tobu Noda Line, sebelum sampai ke Minami-Sakurai Station, iaitu stesen terdekat berhampiran dengan fasiliti ini.

Daripada Minami-Sakurai Station, anda perlu menaiki teksi selama tujuh minit untuk terus menuju ke Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel ini.

Berdasarkan laporan terdahulu, dikatakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggunakan idea yang sama bagi menangani isu banjir kilat yang kerap melanda ibu negara.

Sumber: Japan Travel, Edogawa River Office

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut kenyataan daripada SUKE, runtuhan dari tapak pembinaan berhampiran Desa Tun Razak tersebut…