Menurut laporan media tempatan Jiemian News, prestasi hambar model CLA elektrik telah memaksa Mercedes-Benz menilai semula strategi pengeluarannya di China, ketika pasaran EV negara itu semakin dikuasai oleh jenama tempatan.
Sejak Februari 2025, Mercedes-Benz telah melaksanakan dua pusingan pemberhentian pekerja di China susulan penyusutan keuntungan akibat penurunan jualan.
Walaupun syarikat cuba memperkukuhkan daya saing menerusi strategi penyetempatan produk dan teknologi, usaha tersebut masih belum memberikan impak yang diharapkan.
Dilancarkan pada November 2025, Mercedes-Benz CLA elektrik diperkenalkan sebagai model paling cekap dan pintar pernah dihasilkan oleh jenama Jerman itu.
Bagi menarik perhatian pengguna China, Mercedes-Benz turut menggunakan pendekatan pemasaran yang lebih lokal, termasuk demonstrasi pemanduan jarak jauh di lebuh raya serta promosi besar-besaran sempena kejohanan China Open.
Pada April 2026, Mercedes-Benz memperkenalkan varian lebih mampu milik CLA 260 L dengan harga bermula 229,000 yuan (sekitar RM148,000).
Walaupun menawarkan platform elektrik 800V, jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 40 mm khusus untuk pasaran China serta bateri 60 kWh Lithium Iron Phosphate (LFP), model tersebut masih gagal menarik minat pembeli.
Menurut data yang dipetik Jiemian, jualan bulanan CLA elektrik dari Februari hingga Mei 2026 hanya mencatat 21 unit, 358 unit, 52 unit dan 161 unit.
Dengan jumlah jualan keseluruhan masih gagal mencecah 5,000 unit, laporan itu turut mendakwa Mercedes-Benz kini sedang mempertimbangkan untuk menghentikan sementara pengeluaran CLA elektrik bagi mengurangkan lambakan stok serta memberi ruang kepada pengeluaran model GLC elektrik yang bakal dilancarkan.
Mercedes-Benz kini meletakkan harapan besar kepada GLC EV, model pertama yang dibina menggunakan platform elektrik khusus MB.EA.
SUV elektrik itu membuat penampilan sulung di Beijing Auto Show pada April lalu dan dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai, dengan harga pra-tempahan bermula 349,000 yuan (sekitar RM225,000).
Lebih mencabar, pengeluar tempatan seperti Aito, Li Auto, Nio, Leapmotor dan Xpeng terus mencatatkan tempahan yang kukuh hasil penawaran teknologi pintar, harga lebih kompetitif dan pembangunan produk yang lebih pantas.
Mercedes-Benz masih bergantung kepada jualan model enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai penyumbang utama pendapatan di China.
Namun sepanjang tempoh 12 bulan lalu, jualan model ICE syarikat itu terus merosot berikutan perubahan cita rasa pengguna yang semakin beralih kepada kenderaan elektrik dan plug-in hybrid keluaran jenama tempatan.
Pada Mei 2026, Mercedes-Benz hanya berjaya menjual 25,699 buah kenderaan di China, menyusut 34.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pelancaran GLC EV di China bulan hadapan bakal menjadi ujian penting bagi Mercedes-Benz untuk membuktikan bahawa strategi elektrifikasinya masih mampu bersaing dalam pasaran EV terbesar dunia.