Stesen LRT KLCC kembali beroperasi

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Stesen transit aliran ringan (LRT) KLCC yang ditutup sementara akibat kepulan asap dalam bilik peralatan elektronik, kembali beroperasi pada jam 5.52 petang, hari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, stesen berkenaan kembali beroperasi dengan penumpang dibenar masuk secara berperingkat.

"Penumpang dibenarkan masuk secara berperingkat dan pergerakan penumpang ke platform dikawal petugas stesen.

"Langkah itu dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di dalam kawasan stesen dan platform," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, malam ini.

Rapil Rail berkata, dalam insiden kira-kira jam 3.51 petang tadi, kebakaran kecil berlaku dan menyebabkan kerosakan pada panel kawalan penghawa dingin stesen yang terletak di dalam bilik loji penghawa dingin.

"Petugas stesen yang berada di lokasi berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran kecil itu.

"Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 4.24 petang bagi menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran serta memastikan status kawasan stesen berada dalam keadaan selamat untuk penumpang masuk ke stesen," katanya.

Katanya, bagi melancarkan pergerakan penumpang, perkhidmatan bas perantara percuma masih disediakan ke dua stesen berhampiran iaitu Stesen Dang Wangi (hentian bas di hadapan Decathlon KL City Centre) dan Stesen Ampang Park (hentian bas di hadapan Avenue K).

"Sebagai pilihan alternatif, penumpang juga boleh menaiki tren dari stesen Laluan Kelana Jaya dari Stesen Ampang Park dan Kampung Baru; Laluan Putrajaya dari Stesen Ampang Park dan Persiaran KLCC dan Laluan Monorel KL dari Stesen Bukit Nanas bagi meneruskan perjalanan.

"Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terkesan sepanjang tempoh insiden dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden.

RapidKL

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Inisiatif ini dilihat mampu menjadi penyelesai kepada masalah hubungan perbatuan terakhir yang…
Berita Domestik
Stesen LRT yang terlibat ialah Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan juga…
Berita Domestik
Dalam satu kenyataan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan semua lif di 16 stesen monorel…