Stellantis Tangguh Sistem Pemanduan Autonomi Level 3

oleh Qalif Latif|
Stellantis dilaporkan telah menangguhkan pelancaran sistem pemanduan autonomi Level 3 mereka yang dikenali secara dalaman sebagai STLA AutoDrive, meskipun sebelum ini syarikat berkenaan menyatakan teknologi tersebut sudah bersedia untuk digunakan.

Menurut laporan Reuters yang memetik sumber dalaman, keputusan ini dibuat berikutan kos pembangunan yang tinggi, cabaran teknologi serta permintaan pengguna yang lemah. Walaupun begitu, jurucakap Stellantis menegaskan bahawa teknologi tersebut sebenarnya sudah tersedia, namun buat masa ini belum dilancarkan kerana pasaran masih belum menunjukkan permintaan yang mencukupi.

Teknologi yang Tergendala

Sistem Level 3 ini sepatutnya menawarkan fungsi “hands-free dan eyes-off” pada kelajuan sehingga 60 km/j, termasuk pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca mencabar. Ia juga dirancang untuk berkembang kepada keupayaan operasi sehingga 95 km/j pada masa hadapan.

Antara faedah utama sistem ini adalah membolehkan pemandu melakukan aktiviti lain seperti menonton filem, membaca atau menyemak e-mel ketika kenderaan mengendalikan pemanduan sesuatu yang dijangka dapat mengubah pengalaman pemanduan jarak jauh mahupun perjalanan harian.

Selain itu, Stellantis turut merancang sistem Level 2+ untuk pemanduan kelajuan lebih tinggi dengan fungsi hands-off, eyes-on sebagai pelengkap kepada teknologi L3.

Pasaran Masih Belum Bersedia

Walaupun teknologi ini dianggap sebagai “goldilocks” dalam dunia kenderaan persendirian kerana ia mengimbangi keselamatan dan keselesaan, realitinya pasaran masih belum bersedia. Buat masa ini, hanya Mercedes-Benz yang berjaya menawarkan sistem Level 3 di Amerika Syarikat melalui model EQS dan S-Class dengan sistem Drive Pilot.

Insider menyifatkan program STLA AutoDrive kini berada dalam status “on ice” dan tidak dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Sumber penuh di sini: Carscoops

Berita Berkenaan

Berita Global
Perubahan itu dijangka berlaku di bawah kepimpinan baharu Antonio Filosa, menggantikan Carlos…
Berita Domestik
Perkara ini disahkan oleh Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, dalam satu temubual bersama…
Berita Global
Pemilihan ini dibuat selepas proses pencarian dalaman dan luaran yang menyeluruh, dikendalikan…