Nadi 3 liter dengan janaan turbo berkembar ini dinamakan sebagai Hurricane dan bakal digunakan pada produk seperti Jeep Gladiator, Grand Cherokee, Ram 1500 dan 2500, serta Dodge Challenger dan Charger di mana peranan nadi V8 akan perlahan-lahan dihentikan.
Menurut Stellantis, enjin ini mempunyai dimensi bore 84.0 mm dan lejang 90.0 mm, dengan blok dan kepala silinder diperbuat daripada aluminium.
Untuk mengurangkan kesan sela turbo, setiap satu unit turbo akan digunakan untuk tiga silinder, pendekatan yang sama digunakan pada enjin S58 BMW.

Terdapat dua versi output yang bakal ditawarkan, di mana angka standard mampu menghamburkan lebih daripada 400 hp dan daya kilas 610 Nm, dengan nisbah mampatan 10.4:1, had putaran enjin 5,800 rpm dan boleh disuapkan dengan bahan bakar oktana 87.
Versi output tinggi pula boleh menghasilkan kuasa lebih daripada 500 hp dan 780 Nm, dengan suapan bahan api 91, nisbah mampatan direndahkan kepada 9.5:1, had putaran enjin 6,100 rpm, serta menampilkan komponen khas seperti kepala silinder, aci engkol, intercooler yang lebih besar serta omboh aluminium tempa.