Status pembangunan Litar Johor akan diumumkan bulan depan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook The Royal Johor
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim berkata, status perkembangan pembangunan Litar Johor di Pasir Gudang akan diumumkan sendiri oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim bulan depan.

Baru-baru ini timbul spekulasi bahawa Litar Pasir Gudang tersebut bakal dibina semula dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi minyak di negara ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman yang ditemui di Litar Antarbangsa Sepang (SIC) sewaktu perlumbaan GT World Challenge Asia menafikan bahawa litar tersebut akan dibangunkan oleh syarikat gergasi minyak terbabit.

“Berkenaan kerjasama bersama syarikat minyak tersebut sememangnya saya tidak pernah dengar lagi tetapi Tengku Temenggong (Tunku Idris) memang ada perancangan untuk buat balik (litar) dan sudah ada dalam perancangan sejak 2015 lagi.

“Cuma kita tak nak bagi tahu apa-apa dan tak nak berita ini menjadi sensasi malah hanya meneruskan perancangan. Apa yang saya nak katakan perancangan akan ambil masa nak bina selepas sebelum ini dilanda pandemik.

“Pembinaan Litar Johor tersebut turut mengambil masa kerana kita juga sedang berurusan dengan FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) agar reka bentuk litar tidak banyak berlaku perubahan besar. Jadi, ini juga memerlukan masa yang lama.

“Apapun bulan depan, Temenggong sendiri akan buat kenyataan rasmi berkenaan litar tersebut bulan depan,” katanya pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai harapan pembinaan litar tersebut, Tunku Abdul Rahman berharap litar yang akan menjadi kebanggaan rakyat Johor itu dijangka boleh digunakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang.

“Saya rasa untuk fasa pertama Insya-Allah lebih dua hingga tiga tahun kerana banyak benda kita nak tingkatkan kerana litar itu tak silap saya dibina pada tahun 80-an dan juga perlumbaan MotoGP turut diadakan di sana,” tambahnya.

 

Kosmo