SSCUS - dari Kuantan ke seluruh dunia

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tempat duduk kenderaan adalah antara komponen yang sering ditukar dalam modifikasi kenderaan.

Penggunaan "bucket-seat" contohnya bukan sahaja nampak cantik dari segi aestatik, tetapi ia membantu pemandu untuk duduk tegap di dalam kenderaan ketika pemanduan berprestasi tinggi dilakukan.

Antara jenama "aftermarket" yang sangat popular di negara kita untuk tempat duduk ialah SSCUS.

Bermula dari sebuah kedai satu lot di Jalan Beserah, Kuantan sejak tahun 1980-an, ia kini menjadi sebuah perniagaan antarabangsa dengan sebuah kilang di Indera Mahkota, Kuantan.

 

 

Careta turun melawat SSCUS dan sempat berbual dengan YM Kang, Penolong Pengurus syarikat tersebut.

Menurut Kang, SSCUS dimiliki oleh Ray Chan, berasal dari Air Putih, Kuantan. 

"Nama kedai di Jalan Beserah itu ialah Soon Seng Car Seat Specialist," terang Kang.

 

sscus

 

Pada masa itu, ada kedai-kedai tempatan yang membuat "bucket seat" dengan menambah bahagian tepi tempat duduk dengan span.

"Selalunya tempat duduk asal itu ialah dari Proton. Oleh kerana bahan yang digunakan untuk tambahan sisi itu dibuat dari span, ia tidak tahan lama."

 

 

"Jadi kami hasilkan produk menggunakan busa getah atau "foam" yang lebih tahan lama dan ia juga sama dengan bahan asal untuk membuat tempat duduk kereta," sambung Kang (gambar di atas).

Produk pertama SSCUS ialah tempat duduk "bucket" menggunakan foam. Tempat sandar dan tempat duduk ditukar tetapi gelangsar (slider) dan tapak masih menggunakan yang asal dari Proton.

"Harganya pada masa itu ialah RM600 sepasang," Kang berkata.

Sehingga sekarang, SSCUS masih lagi menghasilkan tempat duduk bucket untuk kenderaan-kenderaan jenama nasional seperti Proton dan Perodua dan harganya masih dalam lingkungan RM600 ke RM700 sepasang! 

 

 

SSCUS juga hanya menggunakan komponen-komponen mereka sendiri, kecuali sedikit alatan plastik yang dibekalkan oleh vendor tempatan. 

Pembuatan foam, jahitan kemasan fabrik atau PU dan besi rangka serta gelangsar dihasilkan oleh SSCUS sendiri di kilangnya.

Kilang asal mereka terletak di Semambu tetapi semenjak tahun 2008, ia berpindah ke kawasan perindustrian Indera Mahkota, Kuantan.

Kilang yang besar itu lengkap dengan unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sendiri dengan lima orang perekabentuk kejuruteraan. 

 

 

Mesin pembuat foam diimport dari Itali sementara bahan mentah untuk foam itu diimport dari Jepun, khusus untuk kegunaan automotif.

Produk SSCUS juga menepati piawaian TUV dan juga untuk yang bergiat di dalam sukan permotoran, ada produk SSCUS yang diiktiraf oleh badan induk sukan permotoran - FIA. 

Sayangnya, ia hanya untuk pasaran eksport.

Setiap bulan, kilang SSCUS menghasilkan lebih kurang 2,000 tempat duduk kenderaan dan 55 peratus dari itu ialah untuk pasaran antarabangsa.

"Memang kami eksport produk kami dalam pelbagai jenama," terang Kang.

 

 

Pasaran terbesar SSCUS ialah Amerika Syarikat, tetapi menggunakan jenama lain. 

Ia juga menghasilkan tempat duduk dan aksesori seperti tali-pinggang keledar 3 atau 4-poin dan tapak serta gelangsar tempat duduk bagi jenama terkenal dari United Kingdom.

Malah, SSCUS juga sudah menjadi pembekal tempat duduk asli untuk jenama-jenama tuner dari Jepun dan Eropah. Salah satu dari jenama itu ialah pakar dalam penalaan kenderaan 4X4 dari di UK.

"Dahulu mereka ke China untuk membuat tempat duduk jenama mereka tetapi jumlah peratusan unit yang ditolak (reject) terlalu tinggi. Mereka kemudian datang ke Malaysia dan kami memberikan mereka produk dengan kualiti yang lebih tinggi dan peratusan unit ditolak yang jauh lebih rendah," Kang memberi penerangan.

 

 

Pasaran jenama SSCUS itu sendiri diedarkan di Thailand, Australia, Mauritius, Hong Kong, Indonesia dan sebagainya.

Selain dari tempat duduk "aftermarket" untuk kereta, SSCUS juga menghasilkan tempat duduk lain. Contohnya:

  • Kerusi pejabat
  • Tempat duduk permainan video game
  • Tempat duduk stadium
  • Tempat duduk van
  • Tempat duduk ambulan

 

 

Sekarang ini, SSCUS mempunyai lebih dari 100 pengedar tempatan. Ia tidak mempunyai cadangan untuk menjadi pembekal atau vendor OEM kepada syarikat automotif tempatan.

Sasaran SSCUS ialah untuk meningkatkan pasaran eksport.

"Pasaran tempatan tidak akan membesar lagi. Kerana itu, kami mahu jenama kami dan kepakaran kami dijual di pasaran antarabangsa." 

Siapa sangka produk anak jati Kuantan ini yang hanya bermula dari modifikasi tempat duduk Proton Saga kini sudah berjaya masuk ke industri automotif global.

Tahniah SSCUS kerana berjaya membuktikan produk Made In Malaysia diterima dunia.