SSC Tuatara - supercar V8 1,750 hp yang mampu mengalahkan rekod dunia Koenigsegg Agera

oleh Mohamad Hanif|
Perlumbaan merebut juara terpantas didunia semakin meriah dengan kehadiran pemain baharu iaitu SSC yang hadir dengan sebuah supercar Tuatara 2019.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dicipta untuk merebut tempat teratas sebagai jentera produksi terpantas di dunia, rekaan badan supercar ini telah diperhalusi bagi mencapai drag coefficient yang bernilai 0.279, lebih rendah berbanding Bugatti Chiron (0.36), Koenigsegg Agera (0.36) dan Hennessey Venom F5 (0.33). 


Rangka badan SSC Tuatara ini yang diperbuat daripada gentian karbon sepenuhnya, membolehkan kereta dengan dimensi sepanjang 4429 mm, 1991 mm lebar dan 1092 mm tinggi ini mampu mencapai berat bersih 1,247 kg sahaja. 

Bagi mengalahkan rekod kelajuan yang dicatatkan oleh Koenigsegg Agera, berat badan yang ringan sahaja tidak mencukupi dan untuk tujuan itu, SSC telah melengkapkan Tuatara dengan nadi kuasa 5.9 liter bentangan V8 turbo berkembar yang mempunyai nisbah mampatan 8.8:1 dan redline setinggi 8,800 rpm. 
 


Kuasa yang dihamburkan pula mampu mencecah 1,350 hp (sebagai perbandingan, Koenigsegg Agera menghasilkan 1,341 hp) sekiranya supercar ini diberikan diet bahan api RON 91, manakala bahan api ethanol E85 pula mampu meledakkan kuasa setinggi 1,750 kuasa kuda!

Kedua-dua kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi kotak gear manual tujuh kelajuan berkomputer yang dioperasikan oleh sistem robotik rahsia yang dibangunkan oleh SSC sendiri. 
 


Menurut jurucakap syarikat tersebut, sistem rahsia itu membolehkan Tuatara mencapai kelajuan tertinggi yang mampu memecahkan rekod terpantas yang dihasilkan oleh Koenigsegg pada ketika ini. 

Apa yang pasti, Koenigsegg pasti tidak akan mendiamkan diri mendengar rekod terpantas yang bakal dicatatkan oleh SSC Tuatara ini, manakala di pihak SSC itu sendiri, tiada sebarang maklumat tambahan didedahkan sehinggalah pelancaran supercar yang akan diumumkan kelak.