Kei-car elektrik itu bukan sahaja tampil dengan gaya retro yang unik, tetapi juga ditawarkan pada harga mampu milik untuk pasaran UK, menjadikannya antara EV paling menarik dalam segmennya.
Di Jepun, Super-One bakal dilancarkan pada bulan Mei, sementara pasaran UK, Super-N dijadualkan mula dijual pada Julai dengan harga bermula bawah £20,000 (sekitar RM160k), menjadikannya model Honda paling murah di pasaran tersebut.
Dari segi prestasi, Super-One mengekalkan angka kuasa yang sama seperti N-One e, menghasilkan 63 HP dan 162 Nm, tetapi ia dilengkapi motor elektrik di roda depan yang lebih berkuasa.
Membezakannya dengan N-One e biasa ialah Boost Mode yang boleh meningkatkan output kepada 94 hp dan menariknya, dalam mod ini Honda turut “simulate” pengalaman pemanduan seperti kereta petrol.
Seperti yang ada pada Hyudai Ioniq 5 N dan 6 N, ia lengkap dengan simulasi transmisi tujuh kelajuan dan bunyi enjin dalam kabin, siap ada “redline” digital.
Bagaimanapun saiz bateri masih belum didedahkan, namun ia dijangka mampu memberikan jarak gerak sekitar 206 km (WLTP).
Rekaan Super-One jelas mengambil inspirasi daripada Honda City Turbo II dengan bentuk boxy, fender flare tebal dan karakter retro moden.
Warna ungu terang “Boost Violet Pearl” memang mencuri perhatian, dan Honda turut menjanjikan pelbagai pilihan warna serta opsyen dua tona dengan bumbung hitam berkilat.
Masuk ke dalam kabin, pendekatannya minimalis, hadir dengan paparan digital berbentuk segi empat boleh berubah grafik mengikut mod pemanduan, manakala ambient lighting bertukar dari biru ke ungu dalam Boost Mode.
Skrin infotainment pula jenis floating, dengan kawalan pendingin hawa masih menggunakan butang fizikal, sesuatu yang semakin jarang dalam kereta moden.
Dari segi praktikaliti, ruang belakang cukup untuk dua penumpang tetapi agak terhad, namun tempat duduk boleh dilipat rata untuk memaksimumkan ruang kargo.
Kehadiran model seperti Super-One pastinya akan menjadi tambahan pilihan menarik sekiranya ia ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan mengambil kira trend semasa pembelian EV dan kenaikan harga minyak.
Tahun lalu juga, penulis berpeluang untuk menguji versi prototaip di litar ujian Tochigi Jepun, di mana Super-One sebenarnya lebih menyeronokkan daripada apa yang angka spesifikasi tunjukkan.
Saiznya yang kompak, stereng yang ringan dan responsif serta pusat graviti rendah menjadikan ia lincah di jalan bandar, hampir seperti “go-kart elektrik”.
Boost Mode pula menambah elemen fun yang jarang ada pada EV bajet, tidak terlalu tiruan, malah cukup realistik untuk buat penulis senyum, di mana ia berjaya menghidupkan semula sensasi “rev” dan “shift” yang kita rindukan dalam dunia EV yang sunyi.
Baca: Honda Super-One Prototype