Honda telah menerbitkan data-data dan spesifikasi bagi hatchback bandar berkuasa elektrik Honda e yang akan diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.
Platform ini sebenarnya dibangunkan daripada kertas kosong dan tidak mengambil elemen daripada mana-mana model Honda sedia ada.
Sama seperti platform EV yang lain, Honda meletakkan pek bateri di dasar kenderaan antara roda hadapan dan belakang, menjadikan titik graviti hatchback tersebut rendah.
Selain daripada itu, Honda e juga mempunyai pembahagian berat yang ideal 50:50, dengan sistem suspensi bebas pada keempat-empat penjuru membolehkan ia menawarkan pemanduan yang lebih jitu tidak kira apa jua keadaan.
Menyebut soal pek bateri, Honda e ditawarkan dengan pek bateri jenis lithium ion sejukan cecair berkapasiti 35.5 kWh yang mampu disesuaikan dengan sambungan AC Type 2 atau pengecasan pantas DC CCS2.
Menurut Honda, hatchback e mampu mencapai kapasiti bateri 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja jika menggunakan slot pengecasan pantas DC.
Memandangkan ia dibangunkan khusus buat kegunaan urban, jarak operasi sejauh 200 km mungkin dilihat agak kurang menarik jika dibandingkan dengan EV lain yang berada di pasaran.
Namun, Honda e telah menerima lebih daripada 31,000 pendaftaran minat di Eropah dan buat mereka yang tidak sabar, prototaip Honda e akan membuat kemunculan pada acara Goodwood Festival of Speed tidak lama lagi.
Manakala versi produksi penuh pula dijangka akan diperkenalkan sedikit masa lagi, menampilkan papan pemuka dengan lima skrin paparan dan kamera sisi menggantikan cermin sisi fizikal.