Spesifikasi Honda CR-V PHEV tertiris - mampu capai 1.1 liter/100 km!

oleh Mohamad Hanif|
Kami menjumpai satu penemuan yang sangat menarik menjelang acara Beijing Auto Show 2020 yang sedang berlangsung, di mana Honda dikatakan bakal memperkenalkan sebuah varian CR-V serba baharu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Difahamkan, ini merupakan kali pertama Honda membawakan teknologi plug-in hybrid pada SUV segmen C tersebut.

Berdasarkan petikan daripada laman web AutoHome, antara perubahan yang dapat membezakan antara CR-V PHEV dan CR-V turbo adalah penampilan gril berbilah tiga yang datang dalam warna krom, logo H berlatarbelakangkan warna biru, rekaan rim baharu, dan penambahan slot pengecasan di bahagian kiri.

 


Di bahagian belakang pula didatangkan dengan emblem PHEV bagi mengingatkan orang ramai bahawa ini bukanlah Honda CR-V yang biasa mereka lihat dalam kehidupan seharian.

Dimensi CR-V PHEV ini juga turut bertambah di mana ia kini berukuran 4,694 mm x 1,861 mm x 1,679 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,660 mm, berbanding CR-V standard (4,587 mm x 1,854 mm x 1,679 mm, jarak roda 2,659 mm).

 


Tidak seperti CR-V Turbo yang menggunakan nadi 1.5 liter kod L15B7, Honda CR-V PHEV ini datang dengan enjin LFB13 berkuasa 181 kuasa kuda.

Kod enjin yang sedikit berbeza, namun berkemungkinan ia merupakan nadi serupa berkapasiti 2.0 liter LFB1 i-VTEC Sport Hybrid i-MMD yang kini didapati pada model Honda Accord Hybrid, dengan keupayaan pengecasan plug-in.

 


Lebih menarik, Honda mendakwa CR-V dengan ciri plug-in hybrid ini mampu mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 1.1 liter untuk setiap 100 km!

Acara Beijing Auto Show sudah pun membuka tirainya sehingga 5 Oktober ini, jadi nantikan laporan lanjut berkenaan Honda CR-V PHEV ini di Careta.

Sumber: AutoHome menerusi Autonetmagz